Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:40pm
Pengarah Pelajaran Johor, Azman Adnan. - Foto Hairul Anuar Rahim

Jabatan Pendidikan Johor akur keputusan negeri tutup sekolah, tadika 2 hari

JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Johor akur dengan keputusan kerajaan negeri untuk menutup tiga sekolah dan dua tadika bermula esok.

Pengarahnya, Azman Adnan, berkata pihaknya sudah pun mengambil tindakan memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah di bawah kendalian jabatan itu, sejurus ia diumumkan.

“Jabatan ini akur dengan keputusan Jawatankuasa Teknikal untuk menutup sekolah dan tadika di bawah kawalan Kementerian Pendidikan iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 dan Tadika Pintar Bestari Mawar, selama dua hari bermula 23 Jun, bagi tujuan perluasan radius pemantauan untuk memastikan tahap keselamatan terkawal.

“Penutupan sekolah ini membabitkan semua murid, guru dan kakitangan semua sekolah serta tadika yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau dengan dekat keadaan dari semasa ke semasa demi kebajikan semua pihak.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, mengumumkan penutupan tiga sekolah dan dua tadika selama dua hari bagi membolehkan siasatan dijalankan di kawasan sekitar Sekolah Agama Taman Mawar, dekat sini, sehingga punca pencemaran udara dapat dikenali pasti.

Penutupan turut membabitkan penutupan Sekolah Agama Taman Mawar dan Tadika PASTI, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas yang membabitkan 15 murid di kawasan berkenaan Khamis lalu.

Kesemua sekolah dan tadika yang ditutup itu berada dalam radius antara 100 hingga 800 meter dari Sekolah Agama Taman Mawar, yakni tempat yang menjadi lokasi kejadian. - BERNAMA

546 dibaca
Berita Harian X