Sabtu, 22 Jun 2019 | 5:42pm

Pencemaran udara: 3 sekolah, 2 tadika ditutup

PASIR GUDANG: Tiga sekolah dan dua tadika diarah tutup dua hari bermula esok bagi membolehkan siasatan kes pencemaran toksid dijalankan di kawasan sekitar Sekolah Agama Taman Mawar, dekat sini, sehingga punca dapat dikenali pasti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata ia membabitkan kira-kira 3,000 pelajar dan kakitangan kesemua sekolah dan tadika berkenaan.

Beliau berkata, premis pendidikan yang terbabit adalah Sekolah Agama Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Tadika Pintar Bistari, dekat sini.

Katanya, sehingga jam 12 tengah hari tadi, dua pesakit berusia 11 tahun dari Sekolah Agama Taman Mawar masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, selain tiada pesakit baharu yang dirujuk di hospital.

“Pemantauan kualiti udara dibuat secara berkala (setiap enam jam) dan mendapati tahap bacaan kualiti udara adalah normal, namun pemantauan akan diteruskan mengikut keperluan sehingga Isnin ini.

“Sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi yang terbabit sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran bau yang dikesan di Sekolah Agama Taman Mawar dan SK Pasir Gudang 4.

“Pasukan pemantauan kualiti ditubuhkan merangkumi Jabatan Kimia, Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), JAS (Jabatan Alam Sekitar), Kementerian Kesihatan, Jabatan Meteorologi dan Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA) yang merangkumi radius sejauh 1.1 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Bomba Stadium Tertutup Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon.

Mohd Khuzzan berkata, sehingga kini, tiada panggilan susulan yang diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berhubung dengan insiden di sini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih berkenaan kejadian itu.

“Sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, sila hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi JBPM Johor di talian 07-3409999,” katanya.

816 dibaca
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah) pada sidang media di Bilik Gerakan Bomba Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X