Sabtu, 22 Jun 2019 | 2:03pm

'Ainul dah panjang akal'

KUALA LUMPUR: “Ainul sekarang dah panjang akal. Dia dah tak reti nak tidur, kerja dia main tangan,” kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, merujuk keadaan bayinya selepas hampir dua minggu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam mulut di London.

Melalui Facebooknya pagi tadi, beliau berkata, Ainul Mardhiah cukup marah jika tangannya dibalut kerana suka bermain dengan anggota badan berkenaan.

Menjawab pertanyaan warganet, Ahmad Safiuddin berkata, beliau memberi kebebasan Ainul memasukkan jari ke dalam mulut dan hanya memantau bagi mengelakkan bayi itu menarik wayar di badan.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa syukur kerana perkembangan anaknya itu bertambah baik setiap hari.


Ainul Mardhiah.

Malah, katanya, beliau menghargai doa bagi kebaikan dan kesejahteraan Ainul Mardhiah daripada orang ramai.

“Alhamdulillah. Perkembangan Ainul setiap hari bertambah baik. Tuan dan puan semua orang baik yang sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan Ainul. Semoga doa yang baik itu Allah kembalikan semula kepada tuan dan puan serta keluarga,” katanya.

Ainul Mardhiah yang dilahirkan pada 13 Ogos 2018, menghidap ‘Germ Cell Tumour’ dan selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya di sebuah hospital di London.

Pembedahan yang mendapat liputan meluas media dan viral di media sosial itu hasil inisiatif pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

1204 dibaca
Ainul Mardhiah.
Berita Harian X