Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:28am
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) beramah mesra bersama penderma darah pada majlis perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Gejala sesak nafas di Pasir Gudang sah akibat pencemaran toksik

KUALA LUMPUR: Kejadian pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami gejala sesak nafas disahkan akibat pencemaran toksik, bukan keracunan makanan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pemeriksaan ke atas semua pelajar berkenaan, termasuk dua kes baharu yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, mendapati tiada tanda boleh mengaitkan kes itu dengan keracunan makanan.

Selain itu, beliau berkata, semua kes membabitkan dua sekolah berlainan di daerah berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas pesakit juga mendapati mereka mengalami simptom yang sama dengan kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim pada Mac lalu,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan di Pusat Darah Negara (PDN) di sini, hari ini.

Katanya, semua sampel klinikal berkaitan sudah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk ujian toksikologi.

“Pada masa sama, Jabatan Kesihatan turut melakukan pemantauan di lapangan,” katanya.

Khamis lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Dr Dzulkefly berkata, dua kes baharu membabitkan pelajar lelaki dari SATM, menjadikan jumlah pesakit dari sekolah itu seramai 18 orang.

“Kedua-dua pelajar kini sedang dirawat di HSI dan berada dalam keadaan stabil. Enam pesakit terdahulu yang dimasukkan ke HSI telah pun dibenarkan keluar semalam.

“Dengan pertambahan dua kes baharu itu, jumlah keseluruhan mereka yang telah mendapatkan rawatan adalah seramai 31 orang, iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

Berita Harian X