Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:08am
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bukan surat sokongan menteri: JPN

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan surat permohonan kewarganegaraan yang tular di laman sosial kononnya sebagai sokongan ataupun kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tujuan berkenaan.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan surat berkenaan adalah prosedur biasa di jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri sebelum dokumen terbabit dipanjangkan kepada agensi dan bahagian berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Pejabat Menteri Dalam Negeri dan JPN menerima banyak surat permohonan kewarganegaraan serta pelbagai pertanyaan mengenai status terkini permohonan kewarganegaraan.

“Surat ditularkan itu juga bukan sebagai sokongan ataupun kelulusan oleh Menteri Dalam Negeri terhadap sesuatu permohonan kewarganegaraan

“Malah, pertimbangan pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia ini adalah tertakluk kepada peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak semua permohonan akan diluluskan,” katanya.

JPN menegaskan permohonan kewarganegaraan yang diterima jabatan itu dan pejabat Menteri Dalam Negeri bukan hanya tertumpu kepada satu kaum tertentu sahaja, malah daripada pelbagai kaum di negara ini.

Berdasarkan rekod JPN, bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 Mei lalu, sebanyak 8,322 permohonan kewarganegaraan diterima dari pelbagai latar belakang kaum dan daripada jumlah terbabit, hanya lima pemohon sahaja dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

“Untuk rekod, bagi tempoh yang sama juga, sejumlah 3,126 pemohon juga diberikan kewarganegaraan, dengan permohonan itu adalah dari tahun sebelumnya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh datang ke mana-mana pejabat JPN atau layari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau hubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau emel ke pro@jpn.gov.my.

455 dibaca
Berita Harian X