Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:17pm
PASUKAN keselamatan tiba di Sekolah Agama Taman Mawar (SATM) selepas menerima laporan pelajar mengalami sesak nafas dan muntah dipercayai akibat pencemaran udara. - Foto Zain Ahmed

MESTECC siasat punca pelajar sesak nafas di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan bagi mengenal pasti punca pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, semalam.

Jawatankuasa itu yang diketuai Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar turut dianggotai Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kesihatan Johor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendidikan Daerah dan Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA).

MESTECC dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Penyelarasan Saintifik juga akan diaktifkan bagi menyelaraskan analisis saintifik berkenaan isu terbabit.

“Jawatankuasa ini akan meneruskan analisis laporan dan penemuan pemantauan teknikal yang dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, JAS meneruskan pemantauan kualiti udara di sekolah dan pemantauan dalam radius dua kilometer (km) dari sekolah dimulakan sejak semalam bersama pihak Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Setakat ini, pemantauan awal udara oleh pihak JAS dan HAZMAT bagi parameter CO (karbon monoksida), H2S (hydrogen sulfida) dan VOC (volatile organic compounds) adalah sifar, manakala bacaan oksigen adalah 21.2 ppm.

Setakat ini seramai 29 mangsa sudah menerima rawatan termasuk enam dimasukkan ke wad, selepas mengalami gejala sesak nafas dan muntah dipercayai akibat pencemaran udara yang dilaporkan berlaku sejak petang semalam.

Mangsa adalah 14 pelajar dan dua dewasa daripada Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4).

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kejadian sesak nafas dan muntah, semalam, seakan-akan sama dengan gejala kesan pencemaran di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Berita Harian X