Jumaat, 21 Jun 2019 | 3:58pm

Doktor gembira perkembangan Ainul Mardhiah

KUALA LUMPUR: Doktor yang merawat Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di sebuah hospital di London, gembira dengan perkembangan bayi berusia 10 bulan yang menghidap Germ Cell Tumour itu .

Perkara itu dikongsikan bapa bayi berkenaan, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi Facebook miliknya hari ini, yang menyatakan doktor gembira dengan keadaan Ainul Mardhiah apabila semakin baik dari hari ke hari.

Pembedahan membuang ketumbuhan di mulut Ainul Mardhiah pada 10 Jun lalu berjaya dan kini bayi itu di tempatkan di wad biasa bagi menerima rawatan susulan.

Pembedahan yang mendapat liputan meluas media dan viral di media sosial itu adalah hasil inisiatif pelatih pakar bedah warga Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Lebih manis pembedahan diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway itu disertai doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial rakyat Malaysia, Dr Juling Ong yang berasal dari Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan kerja ke United Kingdom turut meluangkan masa melawat Ainul Mardhiah dan menyifatkan pembedahan serta perkembangan bayi itu satu yang menakjubkan.

Pada lawatan itu juga, Dr Mahathir bertemu Dr Nur Amalina yang mencetuskan inisiatif membawa bayi itu menjalani pembedahan di London dan pasukan doktor yang terbabit dalam pembedahan Ainul Mardhiah termasuk Dr Juling Ong; Dr Sharifah Alwi serta Dr Fahja dan Dr Najmiah.


Ainul Mardhiah.

553 dibaca
Berita Harian X