Khamis, 20 Jun 2019 | 7:35pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) ketika sidang media mengenai situasi terkini kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli Suku Bateq Kuala Koh di Kementerian kesihatan Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Muntah, sesak nafas hampir sama kes pencemaran Sungai Kim Kim

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan gejala sesak nafas dan muntah dialami 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor hari ini seakan sama dengan gejala kesan pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly, berkata pihaknya sedang memantau rapi perkembangan kes berkenaan termasuk akan berhubung rapat dengan Pengarah Kesihatan Negeri Johor bagi mengetahui situasi semasa.

“Maklumat awal yang kami peroleh mendapati simptom dialami murid itu kemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik, sama seperti kes Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengeluarkan arahan kepada sekolah berkenaan ditutup, beliau berkata, ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Setakat ini situasi masih terkawal, apapun kita akan pantau dan lihat situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk menentukan punca dan tahap pencemaran udara yang berlaku,” katanya.

Seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar di sini, mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang ini, dipercayai akibat pencemaran udara.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 petang dan sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

“Pemeriksaan awal mendapati berlaku pencemaran udara dengan 15 murid mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Berita Harian X