Rabu, 19 Jun 2019 | 4:49pm
Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Syor isu kesihatan mental dalam AKKP 1994

PETALING JAYA: Kerajaan disaran memasukkan peruntukan berkaitan kesihatan mental pekerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata buat masa ini, tiada undang-undang atau peraturan berkaitan pekerja dan kesihatan mental di bawah akta berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata peruntukan berkenaan perlu diwujudkan dalam AKKP 1994 bagi menyediakan sokongan kesejahteraan mental di tempat kerja.

“Aspek pembangunan kesihatan mental perlu turut diliputi di bawah AKKP 1994, jadi jawatankuasa berkaitan di tempat kerja boleh membincangkan masalah kesihatan mental pekerja atau pihak yang terbabit tanpa merujuk kepada Jabatan Kesihatan.

“Buat masa ini, ia tidak dimasukkan di bawah akta kerana ia dirujuk di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Menangani Isu Kesihatan Mental di Tempat Kerja” pada Persidangan Pengalaman Kesihatan Mental 2019 di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, kemalangan di tempat kerja bukan hanya disebabkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) pekerjaan tetapi juga masalah mental seperti tekanan dan kemurungan yang tidak dapat ditangani dengan baik.

“Jika akta ini dipinda dengan turut meliputi aspek kesihatan mental, ia boleh dianggap sebagai isu di tempat kerja serta termasuk dalam isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Lam Thye berkata, beliau akan membawa cadangan pindaan itu kepada Lembaga Pengarah NIOSH sebelum mengemukakannya secara rasmi kepada kerajaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata kajian yang dijalankan Kementerian Pendidikan pada 2017 menunjukkan 4.4 peratus daripada 2,123 guru mengalami tahap tekanan sederhana, manakala penjawat awam mencapai skor purata di bawah Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia dalam kajian yang dijalankan Ogos tahun lalu.

“Justeru, kesihatan mental di tempat kerja tidak boleh lagi dipandang mudah kerana ia akan membawa kerugian jika tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Berita Harian X