Selasa, 18 Jun 2019 | 7:51pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) ketika mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu. - Foto BERNAMA

Lawatan Agong ke UAE hasilkan peluang ekonomi lebih luas

KUALA LUMPUR: Lawatan khas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu, melambangkan keakraban hubungan persaudaraan antara Malaysia dan negara Asia Barat itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda percaya lawatan khas itu mampu membawa kepada penerokaan peluang ekonomi lebih luas antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, katanya, pertemuan antara Al-Sultan Abdullah dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kelmarin, adalah kesinambungan daripada lawatan khas itu bagi membolehkan peluang ekonomi berkenaan dapat direalisasikan.

“Baginda berharap lawatan khas ke UAE bakal menghasilkan penerokaan potensi peluang ekonomi antara kedua-dua negara, dengan membuka haluan ke arah kerjasama dan pelaburan masa depan.

“Pertemuan baginda dengan menteri (Mohamed Azmin) bagi membantu memastikan peluang ini menjadi kenyataan dengan beliau dan pasukannya dapat mengangkat perkara ini ke tahap lebih tinggi dalam mewujudkan potensi usaha bilateral,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menyatakan secara terperinci perbincangan antara baginda dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, kepada Mohamed Azmin.

“Baginda dan Putera Mahkota berbincang serta bertukar pandangan dalam beberapa isu, termasuk cara mempertingkatkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed memiliki sejarah persahabatan yang panjang, bermula ketika kedua-duanya mengikuti latihan ketenteraan di Royal Military College, Sandhurst antara 1978 hingga 1979.

Mengulas pertemuan baginda dengan Mohamed Azmin, Ahmad Fadil berkata, perbincangan bersama jemaah menteri adalah urusan baginda, selain pertemuan mingguan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

“Kita berharap hubungan persahabatan istimewa antara kedua-dua pemimpin ini akan mengukuhkan kerjasama dan kepentingan bersama antara Malaysia dan UAE,” katanya.

Mengulas pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan Mohamed Azmin, Ahmad Fadil berkata, perbincangan bersama jemaah menteri adalah urusan baginda, selain pertemuan mingguan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Ahmad Fadil berkata, baginda hari ini dijadualkan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

209 dibaca
Berita Harian X