Selasa, 18 Jun 2019 | 5:52pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong. - Foto BERNAMA

Kerajaan kaji undang-undang baharu lindungi privasi

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji penggubalan undang-undang baharu berkaitan pencerobohan privasi bagi memastikan privasi setiap individu dilindungi dan tidak boleh diceroboh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong, berkata undang-undang berkenaan akan melihat pelbagai sudut, termasuk kesalahan meletakkan peralatan video dalam bilik orang lain, melanggar dan menceroboh privasi individu lain.

Katanya, beliau melihat banyak kes pencerobohan privasi akhir-akhir ini, khususnya membabitkan pasangan kekasih apabila teman lelaki merakam gambar teman wanita sebelum mendedahkannya dalam media sosial bagi tujuan mengancam ketenteraman.

“Sebuah jawatankuasa sudah dibentuk untuk meneliti undang-undang berkaitan pencerobohan privasi serta membincangkan isu-isu berkaitan dengan lebih lanjut,” katanya

Vui Keong berkata demikian ketika ditemui pada program bersama Kluster Pengurusan Kehakiman dan Perundangan JPM, di sini, hari ini.

Katanya, undang-undang itu kelak akan dapat melindungi masyarakat, terutama golongan muda, masyarakat, wanita dan kanak-kanak yang terpedaya dengan pelbagai ancaman dan ugutan.

Beliau ditanya mengenai penyebaran terbaru video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Seorang ahli PKR yang juga Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai seorang daripada dua lelaki dalam video terbabit.

Berita Harian X