Selasa, 18 Jun 2019 | 4:56pm
Penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar. - NSTP/Aziah Azmee

'Haziq tak pernah jadi pelatih kepada Azmin' - Khalid Jaafar

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz didakwa tidak pernah menjadi pelatih kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Timbalan Presiden PKR itu menyandang jawatan Menteri Besar Selangor.

Sehubungan itu, Penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar, berkata dakwaan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang Haziq pernah menjadi pelatih kepada bekas Menteri Besar Selangor berkenaan, adalah tidak benar.

“Saya membaca kenyataan Shamsul Iskandar yang antara lain menyebut Haziq pernah menjadi pelatih kepada Mohamed Azmin ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

“Ini fakta yang salah. Haziq tidak pernah menjadi pelatih kepada Mohamed Azmin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haziq digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Shamsul Iskandar pada Khamis lalu, selepas secara terbuka mengaku sebagai individu dalam rakaman video lucah dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Khalid berkata, beliau yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar Selangor, mencadangkan kepada Mohamed Azmin supaya mengambil Haziq sebagai pelatih.

“Ia bertujuan memberi pendedahan kepada seorang anak muda untuk menimba pengalaman. Haziq ketika itu kelihatan berpotensi dan dia adalah alumni Sekolah Politik Institut Kajian Dasar.

“Cadangan saya ditolak Mohamed Azmin. Bagi menjaga hati Haziq, saya mencadangkan beliau menjadi pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor di bawah pengawasan saya dan tidak sebagai pelatih kepada Menteri Besar ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Haziq menolak pelawaannya dan difahamkan sangat kecewa serta marah dengan Mohamed Azmin.

Justeru, Khalid menuntut PKR mengambil tindakan terhadap Haziq yang membuat pengakuan sebagai individu di dalam video lucah berkenaan.

1176 dibaca
Berita Harian X