Selasa, 18 Jun 2019 | 3:13pm

'Ainul gembira dapat berdiri hari ini'

KUALA LUMPUR: “Ainul gembira dapat berdiri hari ini,” kata ibu Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, mengenai perkembangan terbaru anaknya yang selamat menjalani pembedahan membuang Germ Cell Tumour di bahagian mulutnya minggu lalu.

Berita itu dikongsikan Nurul Erwani Zaidi, 24, di laman sosial Instagramnya, hari ini.

Nurul Erwani berkata, anaknya yang berusia 10 bulan itu turut kelihatan seronok bermain dengan ibu bapanya.

“Lepas seronok main dengan mama dan walid, Ainul tidur. Anak mama memang cerdik,” katanya.

Nurul Erwani berkongsi video beliau memegang Ainul Mardhiah dan gambar bayi berkenaan sedang tidur.

Ainul Mardhiah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London pada 10 Jun lalu.

Ketumbuhan pada mulut bayi berkenaan yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram itu, berjaya dibuang sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Keadaan kesihatan Ainul Mardhiah yang semakin stabil juga membolehkan bayi itu dipindahkan ke wad biasa sejak Jumaat lalu, dengan semua jarum di tangan dan kakinya sudah dicabut.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut meluangkan masa melawat Ainul Mardhiah ketika dalam lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK).

1111 dibaca
Nurul Erwani sedang memangku Ainul Mardhiah. - Foto Ihsan IG Nurul Erwani Zaidi
Berita Harian X