Selasa, 18 Jun 2019 | 11:58am
MAJLIS sumbangan pembukaan akaun SSPN-i kepada murid dalam kalangan keluarga asnaf di Kedah.
ANTARA pelajar yang menerima sumbangan zakat dalam bentuk SSPN-i.
PENDUDUK setempat kurang bernasib baik di Johor menerima bantuan.

CSR PTPTN bantu asnaf

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM2.24 juta kepada golongan asnaf serta surau dan masjid terpilih, sepanjang Ramadan lalu.

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata agihan zakat itu dilaksanakan sempena Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin membabitkan 12 lokasi di seluruh Semenanjung, bagi membantu golongan kurang bernasib baik dengan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau berkata, program yang julung kali diadakan itu, sarat dengan pengisian termasuk gotong-royong, agihan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa bersama masyarakat.

“Bantuan zakat ini diagihkan dalam tiga segmen, termasuk sumbangan berbentuk simpanan bernilai RM100 di dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 6,640 murid dan pelajar dalam kalangan keluarga asnaf dengan membabitkan jumlah keseluruhan RM664,000.

Sumbangan barang keperluan

“Selain itu, kita juga memberi sumbangan barangan keperluan harian bernilai RM150 kepada 8,300 keluarga asnaf dengan membabitkan peruntukan berjumlah RM1.245 juta di 165 kawasan.


ABDUL Ghaffar Yusop

“Malah, PTPTN turut menyalurkan sumbangan wang tunai RM2,000 kepada masjid dan surau terpilih di 165 kawasan dengan jumlah peruntukan RM332,000. Sumbangan itu digunakan bagi menampung keperluan masjid dan surau untuk menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya kepada BH di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Ghaffar berkata, sumbangan zakat PTPTN ini adalah zakat perniagaan yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang membabitkan barangan atau perkhidmatan.

“Selain menyediakan skim pinjaman dan simpanan, PTPTN juga turut membuat pelaburan. Justeru, PTPTN sememangnya wajib mengeluarkan zakat ke atas keuntungan terhadap semua pelaburan dibuat termasuk bagi deposit yang diterima melalui SSPN dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya.


GOLONGAN asnaf menerima sumbangan barang keperluan pada Program Jelajah Ramadan PTPTN.

SSPN ialah skim simpanan yang patuh syariah menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’, yakni konsep simpanan untuk pelaburan dan melalui konsep ini, PTPTN diwakilkan oleh pendeposit untuk melabur bagi pihak mereka. Selain itu dalam Islam, zakat adalah satu daripada cara untuk mengembangkan ekonomi sesebuah negara.

Beliau berkata, PTPTN memenuhi semua syarat ditetapkan yang mewajibkan badan berkenaan mengeluarkan zakat seperti yang digariskan pusat zakat iaitu 2.5 peratus daripada hasil bersih pelaburan tahunan.

“Selaras dengan kepesatan aktiviti pelaburan di PTPTN, pada 2017 PTPTN sudah mendapatkan pandangan daripada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), selain mengadakan perbincangan dengan beberapa lembaga zakat negeri sebelum membuat bayaran zakat. Malah, PTPTN sudah mengeluarkan zakat sejak tahun berakhir 2016 dan diteruskan bagi tahun berakhir 2017.


KAKITANGAN PTPTN bergotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa pada Program Jelajah Ramadan PTPTN, baru-baru ini.

“Ramai kalangan masyarakat tidak faham yang pembayaran zakat ini sebenarnya tidak menjejaskan pinjaman yang akan diberikan kepada pelajar kerana bayaran zakat adalah berdasarkan keuntungan pelaburan, terutama deposit SSPN dan bukan daripada dana untuk pemberian pinjaman,” katanya

Merakyatkan PTPTN

Melaluinya juga masyarakat dapat bersama-sama menikmati kemudahan yang diberikan PTPTN. Pemberian kepada asnaf atau pihak yang sewajarnya menerima zakat ini adalah mengikut prosedur seperti yang telah ditetapkan oleh pusat zakat dengan kerjasama pemimpin tempatan. Ia penting bagi memastikan pemberian sumbangan disalurkan kepada golongan yang tepat dan sewajarnya.

“Sumbangan zakat RM2.24 juta ini adalah menggunakan wakalah zakat PTPTN dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghaffar berkata, selain menyampaikan sumbangan, aktiviti turun padang bertemu masyarakat juga dilihat sebagai inisiatif mempromosikan SSPN kepada komuniti khususnya golongan ibu bapa, selain memupuk budaya menabung.


PENGAGIHAN bubur lambuk diadakan di Hospital Besar Port Dickson.

“Program kemasyarakatan seumpama ini mampu memberi peluang dan kesempatan kepada PTPTN untuk saling berinteraksi secara terbuka, bertukar-tukar fikiran bagi menjalinkan hubungan yang baik antara PTPTN, pemimpin dan masyarakat setempat. Malah, ia juga sebahagian usaha merakyatkan PTPTN,” katanya.

Melalui inisiatif CSR ini adalah program murni yang sihat yang mana pegawai dan kakitangan PTPTN turut sama dalam aktiviti tersebut dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat serta mendidik mereka agar lebih prihatin dan menghargai golongan yang kurang bernasib baik serta dapat menghayati Ramadan dengan pengisian yang penuh bermanfaat.


Foto hiasan.

“Saya gembira kerana terpilih menerima sumbangan zakat barangan keperluan daripada PTPTN, sekali gus meringankan beban saya sebagai ibu tunggal yang perlu menyara tiga anak. Malah saya berharap PTPTN akan terus membantu golongan asnaf seperti kami” Mazliana Mahful, dari Rembau, Negeri Sembilan


BEKAS Ketua Biro BH Melaka, Md Daud Awang.

Saya bersyukur kerana anak saya terpilih menerima sumbangan berbentuk simpanan bernilai RM100 di dalam akaun SSPN-i. Sebelum ini, saya sebagai bapa tidak pernah terfikir untuk membuka akaun simpanan pendidikan anak-anak saya dan ia sekali gus membuka mata saya untuk menyimpan demi masa depan mereka. Sekurang-kurangnya duit simpanan itu boleh digunakan sekiranya mereka dapat menyambung pelajaran ke universiti kelak” Asrul Afendy A Rahman, dari Kuala Nerus, Terengganu

6664 dibaca
Berita Harian X