Isnin, 17 Jun 2019 | 10:55pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Dakwaan dalang isu video tak masuk akal - Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dakwaan kononnya beliau mendalangi isu video lucah yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukan sahaja tidak berasas malah tidak masuk akal.

“(Tuduhan) tidak masuk akal. Kamu tidak boleh kata benda yang tidak benar. Itu sesuatu yang buruk. Ia penuh dengan fitnah dan tidak adil.

“Saya simpati dengan isu ini. Ia tidak masuk akal langsung untuk kita meletakkan keraguan kepada pihak lain tanpa sebarang bukti,” kata Presiden PKR itu ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengaitkannya sebagai dalang isu terbabit.

Mengulas mengenai laporan media Australia mendakwa tiada bukti manipulasi imej pada video terbabit, Anwar menyerahkannya kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Saya tidak mahu buat apa-apa telahan, kita boleh baca tapi yang sahnya kita kena dengar daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, berkata isu terbabit tidak akan menjejaskan perpaduan parti kerana ahli yang waras tidak akan terikut dengan sentimen dan fitnah.

“Parti masih kukuh, saya di Sabah dan Sarawak baru-baru ini, semua ahli dari cabang hadir. Semua kepemimpinan ada.

“Mestilah rakyat mahu tahu apa yang berlaku dalam parti. Pada pandangan saya, jangan lemparkan dakwaan kepada sesiapa. Kita patut berpegang kepada fakta dan bukti sahih sebab ini bukan budaya kita,” katanya.

Semalam, Azmin menggesa Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang di sebalik penyebaran video lucah yang dikaitkan dengannya.

Berita Harian X