Isnin, 17 Jun 2019 | 4:14pm
Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim (dua dari kanan) bersama Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Dr Azizan Abdullah (kanan) menyampaikan surat perlantikan ahli senat UiTM di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

UiTM UA ketiga lantik pelajar jadi ahli senat

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi Universiti Awam (UA) ketiga melantik dua pelajarnya sebagai ahli senat universiti terbabit.

Pelantikan itu selaras dengan hasrat dan galakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi memperkasa pelajar serta menyemarakkan keterangkuman dan pengupayaan pelajar dalam proses pengurusan universiti.

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim, berkata selaku Naib Canselor, beliau menggunakan kuasanya berdasarkan Seksyen 16A (5) Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) untuk membabitkan (Co-Opt) dua pelajar sebagai Ahli Senat UiTM.

Menurutnya, pelantikan wakil pelajar sebagai ahli senat UiTM, adalah antara perkara yang bersejarah dalam usaha untuk universiti itu memperkasakan pembabitan pelajar dalam pengurusan universiti.

“UiTM adalah universiti ketiga selepas Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Terengganu dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menyahut saranan Menteri Pendidikan.

“Lantikan ini berkuat kuasa pada 1 Julai hingga tarikh akhir mereka memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan mereka tertakluk kepada maklumat kerahsiaan dan perlembagaan ahli senat.

“Saya harap dengan pelantikan ini mereka dapat memberikan komitmen dan sumbangan idea terhadap perkembangan universiti malah pembabitan mereka akan membawa universiti ke tahap yang lebih gemilang dalam usaha untuk memperkasakan pengajian tinggi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelantikan Pelajar sebagai Ahli Senat UiTM di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Azizan Abdullah serta dua pelajar yang dilantik, Nurul Fatiha Norsip dan Muhamad Afiq Hariz Khatem.

Mohd Azraai berkata, sejak sekian lama, UiTM sudah membabitkan pelajarnya dalam pentadbiran universiti itu.

“Ada wakil pelajar dalam 47 jawatankuasa di peringkat universiti, antaranya jawatankuasa pembangunan kepimpinan pelajar, mesyuarat pengurusan hal ehwal pelajar dan mesyuarat jawatankuasa.

“Kemuncaknya adalah pemilihan pelajar sebagai ahli senat. Ia adalah usaha untuk memperkasakan pembabitan pelajar dalam menentukan hal tuju senat dan juga bagi memperkasa keputusan yang kita buat. Jadi kita perlukan suara daripada pelajar kerana mereka adalah pemegang saham terbesar di universiti.

“Buat masa ini kita ada 70 ahli senat di UiTM. Senat ini adalah peringkat membuat keputusan tertinggi untuk hal ehwal akademik universiti dan dua pelajar yang kita persetujui untuk dilantik sebagai ahli senat ialah saudara Muhamad Afiq Hariz (Penolong Naib Yang Dipertua Jabatan Perhubungan dan Pengantarabangsaan MPP) dan saudari Nurul Fatihah (Bendahari Kehormat MPP), ” katanya.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat selepas Mesyuarat Eksekutif Universiti yang diadakan pada 12 Jun lalu.

Sementara itu, Azizan pula berkata, pelantikan kedua-dua pelajar itu berdasarkan lima kriteria antaranya pelajar UiTM sepenuh masa di peringkat ijazah sarjana muda dengan mendapat CGPA minimum 2.75.

“Pelajar terbabit hendaklah aktif dalam pergerakan kepimpinan pelajar sama ada melalui MPP, Jawatankuasa Perwakilan Kolej, Badan Beruniform, Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Persatuan atau Kelab Pelajar.

“Mereka juga bukan pelajar yang menjalani latihan praktikal melebihi tiga bulan dalam semester berkenaan, tidak pernah dikenakan atau masih menunggu tindakan tatatertib atas satu kesalahan,” katanya.

Berita Harian X