Ahad, 16 Jun 2019 | 5:11pm
Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kiri) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

Hanya PM, jemaah menteri boleh minta Azmin cuti - Ketua AMK

JOHOR BAHRU: Hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan jemaah menteri boleh membuat keputusan sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perlu bercuti atau tidak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata ia sejajar dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin, yang menyatakan Mohamed Azmin tidak perlu didesak bercuti daripada menjalankan tugas parti dan kerajaan.

Katanya, akar umbi PKR juga menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan sebaiknya bagi menangani krisis berkenaan.

“Akar umbi PKR masih kukuh dan kekal pada semangat perjuangan parti walaupun ada pihak menyuarakan pandangan sama ada Mohamed Azmin perlu bercuti atau tidak, kita serahkan pada pucuk pimpinan parti memutuskannya.

“Ia perlu diputuskan Perdana Menteri dan jemaah menteri yang berhak membuat keputusan. Kami masih memberi sokongan dan dokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tidak mahu mengganggu gugat kosensus yang ada dan berharap apabila krisis ini selesai dan siap siasatannya, PKR boleh keluar daripada krisis ini,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Johor Bahru, di Dewan Taman Sinar Harapan Jubli, di sini, hari ini.

Semalam, Haziq Abdullah Abdul Aziz iaitu individu yang mengaku lelaki dalam satu video lucah dikaitkan dengan seorang menteri, dibebaskan dengan jaminan polis dengan seorang penjamin pada jam 5.45 petang.

Kelmarin, BH melaporkan Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya individu dalam klip video dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.

Ditanya kenyataan Mohamed Azmin hari ini yang mahu kepimpinan PKR menjelaskan kenapa pihak yang menyebarkan video seks dikatakan memaparkan individu miripnya itu boleh memiliki nombor telefon semua pemimpin cabang parti, Akmal berkata, semua pihak perlu menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berharap polis teliti hal ini kerana wartawan pun ada menyimpan nombor pemimpin PKR. Faktor sama ada data diceroboh juga perlu diteliti. Jika benar ada pihak berkomplot dalam kes ini, polis perlu menyiasat pihak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas kedudukan Haziq sebagai Ketua AMK Santubong, Akmal berkata, ia terletak di bawah bidang kuasa parti.

“Soal keanggotaan terletak di bawah bidang kuasa parti. Haziq dipilih Ketua AMK Santubong melalui pemilihan parti yang lalu dan dia sudah bermula dalam politik dari zaman mahasiswa lagi,” katanya.

924 dibaca
Berita Harian X