Sabtu, 15 Jun 2019 | 5:30pm
Dr Amalina tidak sabar untuk melihat Ainul Mardhiah membesar dengan sihat selepas pembedahan ini.

'Tak sabar lihat Ainul membesar'

Dr Amalina Che Bakri, 31, mengakui cemas sepanjang pembedahan membuang ketumbuhan pada bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, yang menghidap Germ Cell Tumor, di sebuah hospital di London pada Selasa lalu. Anak Malaysia itu sebelum ini mengharumkan nama negara kerana keputusan cemerlang 17 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kini bertugas sebagai pelatih pakar bedah di sebuah hospital di London. Wartawan BH, Syalikha Sazili, menemu bualnya.

S: Boleh kongsi bagaimana mula mengambil kes Ainul Mardhiah.

J: Pengikut akaun sosial Instagram menghantar mesej dan e-mel kepada saya berhubung penyakit Ainul Mardhiah. Selepas mula mengetahui mengenai penyakitnya, saya meminta bantuan orang ramai di Instagram untuk berhubung dengan ibu bapanya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi yang membalas mesej Instagram dan di situ bermulanya misi membantu.

Saya anggap Ainul Mardhiah dan ibu bapanya seperti keluarga sendiri. Saya tidak sabar untuk melihat beliau membesar dengan sihat selepas pembedahan ini.

S: Apa yang mendorong Ainul Mardhiah dibantu?

J: Hati saya tersentuh apabila melihat gambar Ainul Mardhiah dan terpanggil untuk menolongnya. Malah, saya berjanji kepada diri sendiri, saya akan usaha sehabis baik untuk membantu bayi ini dan keluarganya.

Ibu bapa Ainul Mardhiah memaklumkan, doktor di Malaysia tidak mampu menjalankan pembedahan ke atasnya kerana be-risiko tinggi dan bayi ini juga memerlukan penjagaan paliatif yang tidak mempunyai rawatan untuk sembuh.

Justeru, ibu bapa Ainul Mardhiah terbuka untuk mendapatkan pandangan kedua daripada pihak pakar di United Kingdom (UK).

Saya bertugas di London, namun mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan saja. Bagaimanapun saya mempunyai ramai kenalan yang pakar dalam bidang pediatrik.

Saya berhubung dengan pasukan mereka termasuk pakar pediatrik onkologi, pakar pembedahan craniofacial atau plastik dan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar kepala dan leher.

Selepas berbincang, kami sepakat untuk membawa Ainul Mardhiah ke London.


Pembedahan Ainul Mardhiah yang mendapat liputan meluas media dan viral di media sosial itu adalah hasil inisiatif pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

S: Perjalanan membawa Ainul Mardhiah ke London khabarnya berdepan beberapa cabaran, boleh jelaskan?

J: Ya, cabarannya bermula pada awal lagi khususnya bagi membuat persediaan sebelum Ainul Mardhiah diterbangkan ke London. Antaranya rawatan perubatan bagi bayi ini.

Ainul Mardhiah juga mengalami jangkitan dada sebelum pemindahan menerusi penerbangan. Ini bermakna perjalanan itu sangat berisiko untuknya memandangkan beliau mempunyai tiub trakeostomi (di leher) untuk menyokong pernafasannya. Malah, beliau memerlukan pakar anestetik untuk memastikan perjalanan itu selamat.

Beberapa faktor ini menyebabkan usaha membawanya ke London memakan masa sedikit. Ia bertujuan memastikan bayi selamat untuk diterbangkan ke sini.

Saya berjaya menghubungi pakar bius di Malaysia, Datuk Dr Jaseemuddeen Abu Baker untuk membantunya mengisi borang perubatan.

Selain itu saya juga menghubungi Datuk Dr Razin Kamarulzaman dari Malaysia Airlines yang menguruskan penerbangan keluarga Ainul Mardhiah.

Saya ucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang memudahkan misi ini antaranya pakar anestetik, Dr Gunalan Arumugam, pakar anestetik lain yang mengiringi keluarga, Malaysia Airlines, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Jefri Harun dari HICOM dan rakyat Malaysia di UK - Dr Fahja Ismail, Dr Najmiah Khaiessa Ahmad dan Dr Sharifah Faridah Syed Alwi, yang membantu ibu bapa Ainul Mardhiah dalam sokongan emosi dan bantuan penginapan.

S: Pembedahan Ainul Mardhiah mempunyai risikonya bagaimana Dr dan pasukan berjaya melaksanakannya?

J: Kejayaan ini adalah hasil kerjasama sepasukan pakar yang saya sebutkan tadi. Banyak perancangan, persediaan dan imbasan dilakukan bagi memastikan pembedahan ini berjaya.

Pembedahan ini diketuai oleh Dr Juling Ong dan Prof Dr David Dunway. Justeru, saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka dan seluruh pasukan.

S: Apakah perasaan sebaik pembedahan itu berjaya? Pernahkah Dr melalui detik cemas dan bolehkah Dr kongsikan?

J: Perasaan saya bercampur-baur. Saya rasa lega dan sangat gembira. Air mata kegembiraan mengiring kejayaan pembedahan ini.

Sepanjang pembedahan saya berasa cemas, terutama ketika pembedahan membuang ketumbuhan dilakukan. Ia sangat dekat dengan saluran darah penting di leher dan berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan pendarahan teruk. Pembedahan ini memang berisiko untuk bayi kecil seperti dia.


Dr Amalina (kiri) bersama ibu bapa Ainul Mardhiah selepas pembedahan selesai.

S: Adakah Dr akan terus membantu kes seperti Ainul Mar-dhiah.

J: Saya akan usaha sebaik mungkin untuk membantu selagi saya mampu.

S: Seluruh rakyat Malaysia menyanjungi Dr berikutan kes Ainul Mardhiah, masih adakah yang memberi komen serong terhadap gaya hidup anda?

J: Tak hidup (untuk) dipuji, tak mati (untuk) dikeji. Saya hanya jujur terhadap diri sendiri.

Saya akan terus menjadi seperti saya selalu lakukan dan mengabaikan perkara negatif di luar sana.

Kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Hidup akan sia-sia kalau kita membuang masa membuat perkara remeh.

Jadi saya hanya akan fokus pada kerjaya, keluarga dan orang yang saya sayang.

Berita Harian X