Sabtu, 15 Jun 2019 | 3:12pm

Hentikan spekulasi palsu - Guan Eng

BATU KAWAN: Kontroversi berhubung cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang perlu dihentikan berikutan laporan mengenainya disifatkan sebagai palsu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata isu itu tidak perlu dijadikan tumpuan atau disensasikan, selain dilihat lebih cenderung menjadi alat pihak tertentu.

“Jangan siarkan berita bukan-bukan dan tidak berasas kerana anda hanya akan menjadi alat untuk kepentingan syarikat swasta yang mahu mempromosikan projek mereka.

“Laporan itu sesuatu yang besar kerana pembinaannya didakwa di kawasan tambak laut seluas 5,000 hektar, sedangkan isu berkaitan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Malah, kerajaan Pulau Pinang menegaskan tidak maklum mengenai cadangan ini, manakala kerajaan Kedah, perdana menteri dan Kementerian Pengangkutan juga memberi maklum balas sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kilang Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan, dua syarikat pemaju swasta berminat membangunkan dua lapangan terbang baharu di daerah Seberang Perai Selatan.

Satu daripada pemaju terbabit dikatakan sudah membentangkan cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan, manakala sebuah syarikat lagi didakwa akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Cadangan pertama projek itu dilapor dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) yang dikatakan akan mengambil ribuan hektar tanah perusahaan sawah.

Cadangan kedua pula dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara Malaysia (NORIA) yang didakwa akan mengambil 5,000 hektar pesisir pantai Seberang Perai Selatan dengan kedua-duanya dicadang dibina pada jarak 10 kilometer.

Terdahulu, Guan Eng dalam ucapannya mengalu-alukan pelaburan bernilai RM1 bilion yang dibuat Hotayi Electronics di negeri itu, termasuk menerusi pembinaan kilang baharu syarikat berkenaan yang dilancarkan hari ini.

“Pelaburan yang bermula dua tahun lalu ini membuka 850 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dengan jangkaan lebih 1,000 peluang sama ditawarkan pada masa depan.

“Kebanyakan peluang pekerjaan membabitkan jawatan berkemahiran tinggi, selari dengan aspirasi kerajaan menggalakkan sektor swasta mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi dengan gaji lumayan untuk rakyat tempatan,” katanya.

337 dibaca
Guan Eng menyampaikan ucapan pada perasmian kilang Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd di kawasan perindustrian Batu Kawan, hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X