Jumaat, 14 Jun 2019 | 5:52pm
SALAHUDDIN Ayub

Rakyat perlu tolak politik kotor

MUAR: Semua rakyat di negara ini perlu menolak politik kotor dan jijik kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa saja jika budaya negatif dibiar berterusan, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, budaya politik kotor ini juga dikhuatiri boleh memberi kemudaratan kepada Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini tidak bertamadun.

“Jangan kita ketawakan, jangan berasa seronok atau gembira dengan fitnah yang kotor dan jijik ini. Ini kerana ia boleh berlaku kepada saya, keluarga dan kita semua (rakyat).

“Jika kita biarkan budaya ini berlaku dalam Malaysia, negara akan punah dan kita tidak akan menjadi negara bertamadun, malah politik baharu yang diharapkan semua rakyat di negara kita tidak akan tercapai.

“Jadi, saya mengajak semua rakyat Malaysia menolak politik kotor dan jijik, sebaliknya beri peluang pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu yang memalukan ini,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram di Jalan Dato’ Haji Kosai di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu fitnah video seks diluar tabii yang dikatakan membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, jika budaya ini tidak dibanteras, ia akan menyebabkan seluruh dunia mentertawakan Malaysia kerana politik kotor cuba diamalkan di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram mendoakan keluarga Mohamed Azmin bersabar menempuh ujian dan pada masa sama berdoa diselamatkan daripada politik menjijikkan ini.

419 dibaca
Berita Harian X