Khamis, 13 Jun 2019 | 7:05pm
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

ANGKASA nafi lantik ejen urus pinjaman peribadi

RAUB: Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA) tidak akan berkompromi dengan mana-mana koperasi yang menyeleweng daripada tujuan asal penubuhannya, termasuk membabitkan penawaran pembiayaan peribadi.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya turut menafikan bersekongkol dengan mana-mana ejen atau broker dalam memanipulasi gaji kakitangan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tujuan memudahkan proses permohonan pinjaman peribadi.

“ANGKASA tidak terbabit dengan mana-mana sindiket atau pihak dalam memalsukan slip gaji atau penyata gaji bagi memudahkan (kelulusan) pinjaman,” katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa seramai 140,000 peminjam terkesan dengan potongan gaji melebihi 60 peratus daripada gaji asas mereka.

Abdul Fattah berkata, memang terdapat kakitangan awam yang tidak layak membuat pinjaman menggunakan khidmat ejen tertentu yang bertindak mengubahsuai penyata gaji bagi memastikan permohonan pinjaman mereka diluluskan.

Katanya, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa ANGKASA kerana pihaknya hanya menguruskan potongan gaji dan tidak terbabit dalam urusan meluluskan pinjaman kepada ahli koperasi.

“Kita (ANGKASA) hanya membuat potongan gaji secara bulanan berdasarkan arahan peminjam yang bersetuju gaji mereka dipotong mengikut jumlah dinyatakan dalam borang dan tempoh diberi.

“Jumlah potongan ini adalah di luar kawalan ANGKASA dan jika ada orang tengah terbabit dalam mengatur proses permohonan pinjaman, ia bukan melalui pihak kita,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini terdapat 800 koperasi yang menawarkan pinjaman peribadi, tetapi hanya 400 koperasi sahaja yang aktif dalam memberikan pinjaman kepada ahli mereka.

Katanya, ANGKASA sedia mengambil tindakan tegas jika terdapat bukti penyata gaji pemohon yang dipinda dan meminta koperasi yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang bertindak tegas terhadap pihak yang cuba melakukan penipuan dan menasihatkan kepada semua ahli koperasi berhati-hati serta tidak menggunakan orang tengah dalam mengemukakan permohonan pinjaman mereka.

Berita Harian X