Khamis, 13 Jun 2019 | 2:21pm
SAID Sidup (kiri) melekatkan tanda 'BeSS' "di ruangan dapur Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Orang Asli: Belum terima arahan buka penempatan sementara

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum membuka pusat pemindahan sementara untuk menempatkan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Pengarahnya, Said Sidup, berkata buat masa sekarang, kami tidak mendapat arahan daripada kerajaan negeri mahupun Ketua Jajahan untuk membuka pusat penempatan sementara.

“Bagaimanapun, pihak kami sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memantau keadaan di sana dari semasa ke semasa.

“Namun sekiranya ada keperluan dan mendapat arahan daripada pihak atasan kami akan membuka pusat pemindahan ini yang mungkin berada jauh dari kawasan perkampungan itu yang kini sudah diisytiharkan zon merah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan BeSS di Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin, di sini, hari ini. Hadir sama, Penguasa RSK, Rosni Yaacob.

Terdahulu, Pegawai Kesihatan Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, Dr Sharina Dir menyerahkan sijil pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Rosni.

Dalam masa sama, Said berkata, pada Isnin lalu, pihaknya sudah menghantar bantuan bekalan makanan dan keperluan lain untuk keperluan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh.

“Antara keperluan yang dihantar kepada mereka termasuklah beras, gula, minyak masak, sardin, tikar, lampin pakai buang, dan kain batik yang diserahkan kepada Tok Batin.

“Bantuan yang diberikan dianggarkan berjumlah hampir RM14,000 membabitkan 58 keluarga dengan 150 penduduk di penempatan Orang Asli suku Batek,” katanya.

Sementara itu, Said berkata, pihaknya berasa kagum dengan pengiktirafan yang diterima itu kerana ia adalah yang pertama di Malaysia untuk RSK.

“Di RSK Taman Kemumin, terdapat seramai 95 penghuni yang berusia antara 60 hingga 95 tahun yang perlu dijaga dari segi pemakanan kerana ada mereka yang mempunyai penyakit.

“Justeru itu, setiap enam bulan sekali, pihak kami bersama KKM akan menukar hidangan mereka setiap enam bulan sekali bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing,” katanya.

194 dibaca
Berita Harian X