Khamis, 13 Jun 2019 | 1:24pm
Hilman membuat laporan Qazaf di Pejabat JAWI kira-kira jam 11.30 pagi tadi. - Ihsan Twitter Hilman Idham
Laporan Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina itu dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan pihak JAWI. - Ihsan Twitter Hilman Idham

Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi buat laporan Qazaf

PUTRAJAYA: Satu laporan Qazaf dibuat Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham hari ini berkaitan penyebaran video lucah yang mengaitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan seorang lelaki.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat itu membuat laporan berkenaan di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Beliau berkata, laporan Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina itu dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan pihak JAWI.

“Kami akan memberi kerjasama sewajarnya kepada polis dan JAWI atas segala siasatan yang dilakukan.

“Insya-Allah saya yakin dan tegaskan pendirian saya bahawa keyakinan kami, ia tuduhan palsu dan fitnah jahat yang dibuat untuk menjejaskan reputasi dan keperibadian Mohamed Azmin.

“Saya tegaskan lagi bahawa fitnah ini adalah satu konspirasi jahat untuk menyekat kemaraan Mohamed Azmin dalam politik,” katanya kepada pemberita selepas selepas membuat laporan Qazaf berkenaan.

Ditanya mengenai dakwaan seorang individu berjumpa dengannya di sebuah restoran di Marriot Putrajaya pada hari video berkenaan disebarkan dua hari lalu, Hilman mengesahkan pertemuan itu tetapi enggan mengulas butiran pertemuan.

“Saya sudah beri keterangan kepada polis dan JAWI, biar pihak berkenaan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Semalam Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak semalam dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Pada awal pagi semalam, seorang individu mendakwa terbabit sama dalam video itu, dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terbabit dalam aksi berkenaan.

Individu itu mendakwa video berkenaan dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Berita Harian X