Khamis, 13 Jun 2019 | 12:56pm
DR Mahathir bersalaman dengan Li Xi semasa menerima kunjungannya di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA

Perwakilan CPC kunjung hormat Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Li Xi, di Perdana Putra, di sini.

Li yang diiringi delegasi CPC dan Dr Mahathir berbincang mengenai hubungan dagangan antara kedua-dua negara selain memperkukuh hubungan dua hala, dalam pertemuan mereka yang berlangsung selama kira-kira setengah jam.

Li, yang juga Setiausaha Parti Komunis China bagi Jawatankuasa Wilayah Guangdong, dalam mesyuarat itu mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir bagi pihak Presiden China Xi Jinping berhubung pendirian beliau di tengah-tengah kemelut perang perdagangan Amerika-China.

Li turut menyatakan bahawa di bawah kepimpinan Dr Mahathir, Malaysia akan mencapai kemajuan lebih jauh dan beliau turut menyampaikan undangan kepada Perdana Menteri untuk melawat Guangdong.

Guangdong dengan jumlah penduduk seramai 113 juta orang, mencatat jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak AS$1.5 trilion pada tahun lalu.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Duta China ke Malaysia Bai Tian dan Naib Menteri Jabatan Antarabangsa CPC, Guo Yezhou. - – BERNAMA

610 dibaca
Berita Harian X