Khamis, 13 Jun 2019 | 10:48am
Keadaan Ainul Mardhiah bertambah baik dan dijangka boleh dipindahkan ke wad biasa. - Foto FB Ahmad Safiuddin

Ainul Mardhiah semakin sihat

KUALA LUMPUR: Keadaan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi genap berusia 10 bulan hari ini yang menjalani pembedahan ketumbuhan mulut di London awal minggu ini, bertambah baik dan dijangka boleh dipindahkan ke wad biasa.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkongsi berita gembira itu di laman Facebooknya hari ini selepas dimaklumkan oleh jururawat Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU), The Imperial College Healthcare NHS, London.

Beliau yang berkongsi perkembangan terkini Ainul Mardhiah hampir setiap hari, memaklumkan anaknya akan dipindahkan ke wad biasa jika keadaannya bertambah baik.

“Keadaan Ainul Mardhiah semakin baik. Jika esok, keadaannya baik atau bertambah baik seperti hari ini, Ainul Mardhiah akan dipindahkan ke wad biasa. Hari ini saya nampak dia senyum. Kuatnya dia!,” katanya.

Perkongsian status itu mendapat pelbagai reaksi warga net yang rata-rata mendoakan kesejahteraan bayi comel dilahirkan pada 13 Ogos 2018 itu.

Ahmad Safiuddin turut menjawab beberapa soalan sering diajukan kepadanya, antaranya berapa lama Ainul Mardhiah akan berada di London dan bila bayi itu boleh kembali ke tanah air.

“Kami tidak pasti. Dengar khabar mungkin sebulan, mungkin lebih atau mungkin kurang dari sebulan. Mereka di sini mahu pantau Ainul Mardhiah dulu. Mereka mahu pastikan bahawa ketumbuhan itu tidak akan datang semula (semoga Allah jauhkan).

“Jika mereka yakin yang Ainul Mardhiah bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini (berulang), mungkin Ainul boleh balik.

“Sebenarnya, kami sebagai penjaganya boleh saja minta Ainul Mardhiah segera dibawa pulang. Tapi, demi kebaikan Ainul Mardhiah, kami akan selesaikan semua perkara penting di sini sebelum Ainul Mardhiah dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Ahmad Safiuddin juga meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada doktor pakar di hospital itu dan keputusan untuk membawa pulang Ainul Mardhiah ke Malaysia juga akan diputuskan oleh pihak doktor.

“Untuk masa terdekat ini, Ainul Mardhiah perlu dijaga dengan rapi, banyak perkara perlu diteliti selepas buat pembedahan. Selepas fasa ini selesai, berkemungkinan Ainul Mardhiah akan ada fasa ‘belajar makan guna mulut ‘.

“Doktor di sini mungkin akan cuba mengajar Ainul Mardhiah makan menggunakan mulut. Selain pernah memiliki ketumbuhan, Ainul Mardhiah juga memiliki sumbing atau ‘cleft palate’ sejak lahir.

“Pembedahan untuk ‘cleft palate’ ini mungkin akan dibuat selepas Ainul Mardhiah dapat berat badan yang sesuai iaitu antara 6 kilogram (kg) hingga 8kg,” katanya.

Ahmad Safiuddin dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, turut tidak sabar menanti semua prosedur menyembuhkan Ainul Mardhiah selesai supaya mereka boleh membawanya pulang ke tanah air.

“Doakan Ainul Mardhiah ya. Saya yakin, jika Ainul Mardhiah boleh bercakap sekarang, mungkin dia akan ucap terima kasih kepada kalian semua.

“Sekarang ini, ucapan terima kasih itu ditunjukkan melalui kesihatan dan kekuatannya,” katanya.

1423 dibaca
Berita Harian X