Khamis, 13 Jun 2019 | 12:29am
Perdana Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad memotong kek Hari Raya pada Program Makan Malam Sejuta Kenangan bersama Perdana Menteri 2019 di Pusat Konvensyen Setia City (SACC), Setia Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Dr Mahathir yakin Azmin bukan individu dalam video

SETIA ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukan individu yang dikaitkan dalam video lucah yang tersebar sejak kelmarin.

Perdana Menteri berkata, penyebaran video itu jelas bermotifkan politik dengan tujuan untuk menjatuhkan Mohamed Azmin.

"Sekarang ini kalau seseorang mempunyai cukup kepakaran, dia boleh membuat pelbagai video atau gambar. Mungkin suatu hari nanti awak pun boleh tengok gambar saya dimanipulasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Malam Sejuta Kenangan anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), di sini, malam tadi.


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berucap pada majlis sambutan ulang tahun ketiga Parti Bersatu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir berkata, sikap sedemikian tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

"Awak percaya (video) ini? Takkan bodoh nak buat macam itu. Kalau tidak boleh lawan dengan orang, tidak perlu buat macam itu.

"Janganlah buat politik kotor, bila kalah dengan lawan, awak nak tunjuk video lucah. Cara ini sangat kotor, kena amalkan politik bersih," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mempersoalkan individu didakwa bersama lelaki mirip menteri dalam video berkenaan.

"Lelaki ini mengaku, biasa orang malu nak mengaku, ini dia tak malu (mengaku)," katanya.

Semalam, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

3373 dibaca
Berita Harian X