Selasa, 11 Jun 2019 | 9:38pm
Gambar terkini Ainul Mardhiah selepas pembedahan yang dikongsi ibunya di Instagram. - Foto NSTP

Ainul, kamu bayi yang kuat - Dr Nur Amalina

KUALA LUMPUR: Pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri menzahirkan kesyukuran selepas bayi sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya, semalam.

Dr Nur Amalina yang bertanggungjawab mengaturkan pembedahan bayi itu di London, tidak dapat mengawal perasaannya selepas pembedahan selama lima jam bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram (g) itu selesai.

PELATIH pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

“Alhamdulillah, Ainul, kamu bayi yang kuat! Selepas lima jam bertarung dalam bilik pembedahan, ketumbuhan (seberat 200g) berjaya dibuang.

“Kamu tak dapat bayangkan betapa bimbangnya saya semasa berada dalam bilik pembedahan.

“Sebaik saja keluar daripada bilik pembedahan dan melihat ibu bapa Ainul, saya tidak dapat mengawal perasaan.

“Perasaan saya bercampur baur, satu perjalanan yang penuh emosi dan pengalaman yang amat berharga,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya, hari ini.

Terdahulu, Ainul yang menghidap Germ Cell Tumour, selamat menjalani pembedahan selepas ketumbuhan pada mulutnya berjaya dibuang oleh sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Dr Nur Amalina berkata, banyak persediaan seperti perancangan, imbasan, perbincangan dan kesabaran diperlukan bagi memastikan keselamatan Ainul memandangkan pembedahan dilalui bayi itu berisiko tinggi.

“Pasukan perubatan terbabit adalah pakar bedah pelbagai latar belakang kepakaran (termasuk cranofacial, plastik dan kepala serta perunding leher), diketuai Prof David Dunway dan Juling Ong.

“Saya sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pembedahan ini,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit memastikan pembedahan itu direalisasikan.

Mengulas keadaan Ainul, Dr Nur Amalina berkata, bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan dalam pemerhatian selepas pembedahan.

“Mari kita doakan kesembuhan Ainul. Terima kasih untuk doa kalian,” katanya.

Berita Harian X