Jumaat, 7 Jun 2019 | 12:53pm
MANGSA tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad.

Mangsa tembakan warga Malaysia sambut Aidilfitri secara bersederhana

GEORGETOWN: Mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini dalam keadaan sederhana ekoran masih dalam fasa pemulihan fizikal dan emosi.

Rahimi, 39, yang menjalani rawatan di hospital sejak 16 Mac lalu juga sudah dibenarkan pulang untuk menjalani proses pemulihan lanjutan di rumahnya di Maidstone Road, Ilam dekat New Zealand, pada 22 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, hasrat untuk pulang beraya di Malaysia pada tahun ini terpaksa dibatalkan, selain mengakui pergerakannya terbatas ekoran kecederaan pada tulang belakang susulan kejadian terbabit.

“Persiapan raya masih dibuat seperti biasa dan sambutan di sini masih meriah cuma tahun ini saya tak berpeluang solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid kerana pergerakan masih terbatas dan belum sembuh sepenuhnya.

“Isteri saya ada menyediakan ketupat, rendang dan beberapa jenis kuih, selain rakan dan jiran juga berkunjung ke rumah. Bagaimanapun, saya tak menyertai mereka berkunjung ke kediaman lain kerana sukar untuk bergerak.

“Setakat ini, saya sudah boleh tunduk, angkat kaki kanan dan berjalan guna peralatan sokongan. Tambahan, cuaca sekarang ini terlalu sejuk bagi saya dan menyebabkan kaki membengkak,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), 16 Mac lalu.


RAHIMI Ahmad (kiri) menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan rakan di rumahnya di Maidstone Road, Ilam dekat New Zealand. - Foto ihsan pembaca

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu ialah Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.

Ketiga-tiga mereka kini sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, selain Tarmizi dijangka akan mula bekerja kembali menjelang minggu hadapan.

Selain itu, Allahyarham Mohd Haziq, 17, anak kedua Mohd Tarmizi terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian, Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Mohd Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma.

Sementara itu, Rahimi yang berasal dari Kampung Binjai, Bayan Lepas di sini, mengakui masih terbayang kejadian tembakan itu selepas berkesempatan untuk berkunjung ke masjid berkenaan, pada 2 Jun lalu.

“Saya pergi untuk menunaikan solat Asar dan ketika itu saya terbayang kejadian tembakan walaupun semua kelengkapan sudah dibaiki dan tiada kesan tembakan. Saya sentiasa berdoa supaya tidak mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).

“Keadaan itu tidak terlalu mengganggu emosi saya. Bagaimanapun, anak saya, Ahmad Razif, 11, sentiasa dekat dengan saya kerana dia masih dalam keadaan trauma dan kini sudah 80 peratus pulih,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua rakyat Malaysia yang turur tercedera ekoran kejadian itu juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, selain Ahmad Tarmizi dijangka akan mula bekerja semula, minggu hadapan.

”Mohd Nazril juga sudah mula menunjukkan perkembangan positif dan sudah boleh berjalan secara perlahan dengan bantuan alat sokongan,” katanya.


MOHD Tarmizi Shuib (kiri) dan Mohd Nazril Hisham Omar (dua dari kiri) yang turut tercedera dalam kejadian tembakan di Christchurh, New Zealand juga berkesempatan menyambut Aidilfitri di rumah Rahimi Ahmad di Maidstone Road, Ilam. - Foto ihsan pembaca

1151 dibaca
Berita Harian X