Khamis, 6 Jun 2019 | 2:14pm
Al-Sultan Abdullah (tengah) bergambar bersama orang ramai yang hadir pada majlis rumah terbuka baginda di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Al-Sultan Abdullah beramah mesra dengan tetamu, Muhammad Rafizuan Yahya, 30, dan anaknya Tajammul Aqaiz, 1, pada majlis rumah terbuka baginda di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Lebih 7,000 rakyat hadir rumah terbuka Yang di-Pertuan Agong

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, meraikan lebih 7,000 rakyat Pahang pada majlis rumah terbuka baginda di sini.

Majlis yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed serta beberapa EXCO kerajaan negeri.

Al-Sultan Abdullah yang dilihat keluar ke perkarangan istana kira-kira jam 10.30 pagi dengan berpakaian berwarna putih, kemudiannya berjalan dari khemah ke khemah bagi menyatuni rakyat yang sudah membanjiri perkarangan istana sejak jam 8 pagi.

Baginda kemudian bersalaman dengan rakyat jelata sambil berbual dan bertanya khabar.

Malah, baginda tanpa segan silu memenuhi permintaan rakyat yang ingin berswafoto dengannya.

Bagi rakyat yang jarang berpeluang memasuki istana, kesempatan itu digunakan bagi mengabadikan kenangan dengan bergambar berlatar belakangkan bangunan istana.


Antara tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka baginda di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Antara tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka baginda di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Hidangan seperti lemang, nasi minyak, rendang ayam dan daging, acar serta sate menjadi sajian buat tetamu yang datang.

Bagi, Tengku Adnan Tengku Mahmod, 86, yang datang dalam keadaan berkerusi roda, peluang itu digunakannya bagi merapatkan lagi hubungannya dengan baginda yang dikenali sejak kecil.

“Saya dengan tuanku sudah kenal lama, boleh dikatakan sebagai kawan lama. Dulu, sewaktu tuanku kecil saya pernah dukung baginda.

“Semasa saya bertugas sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar, tuanku ketika itu Tengku Mahkota sering datang melawat sekolah,” katanya.

Sementara itu, cucu kepada Tengku Adnan, Mohd Faris Aqil Mohd, 15, berkata mereka sekeluarga datang ke majlis itu kira-kira jam 10 pagi bagi memenuhi hajat datuknya yang ingin berjumpa baginda.

Pelancong dari London, David Whittington, 60, yang berkesempatan menghadiri majlis terbabit menyifatkannya pengalaman itu sangat bermakna buat dirinya untuk merasai suasana sambutan Aidilfitri di sini.

“Saya dapat tahu mengenai majlis ini semalam, sebab itu datang kerana nak rasa suasana beraya di sini sambil merasai juadah yang dihidangkan.

“Cukup teruja melihat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di sini yang boleh bersatu hati datang sejak pagi. Ini yang membuatkan saya kagum dengan negara ini,” katanya.

317 dibaca
Berita Harian X