Khamis, 6 Jun 2019 | 1:03pm
Kisah Ainul Mardhiah dipakaikan baju raya ungu oleh ibunya, Nurul Erwani Zaini, pada raya kedua di London, semalam dikongsi ayahnya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dalam Facebook https://bit.ly/2JYNSih

Ainul Mardhiah dipakaikan pakai baju raya ungu

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri kali ini sudah pasti mengundang hiba bagi mereka yang mengikuti perkembangan Ainul Mardhiah, bayi berusia sembilan bulan, penghidap ketumbuhan kanser Germ Cell Tumor.

Kisah bayi perempuan itu yang dipakaikan baju raya ungu oleh ibunya, Nurul Erwani Zaini, 24, pada raya kedua di London, semalam, lebih lagi meruntun hati.

Namun, senyuman masih mampu terpancar di raut wajah Nurul Erwani ketika buat pertama kali memakaikan baju kurung untuk anak tunggalnya itu di atas katil sebuah hospital.

Rakaman Nurul Erwani memakaikan baju kurung kecil itu dikongsi suaminya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Dalam klip video berdurasi dua minit 14 saat itu, Nurul Erwani dibantu kakitangan hospital terbabit dilihat memakaikan baju kurung berkenaan kepada bayinya.


Kisah Ainul Mardhiah dipakaikan baju raya ungu oleh ibunya, Nurul Erwani Zaini, pada raya kedua di London, semalam dikongsi ayahnya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dalam Facebook https://bit.ly/2JYNSih

Klip video itu setakat ini mendapat lebih 1,000 perkongsian dan lebih 3,000 tanda ‘likes’.

Selain mendoakan kesihatan Ainul Mardhiah, pengguna Facebook turut menzahirkan rasa simpati dan terkesan dengan klip video berkenaan.

“Hati seorang ibu... teringin sangat nak beraya dengan anak kesayangannya... biarpun hanya dipakaikan baju raya.. ia tetap menggembirakan hati kecil seorang ibu. Semoga Ainul cepat sembuh,” kata seorang pengguna Facebook dikenali Noorul Nadia.

“Video adik Ainul pakai baju raya.. terkesan dalam diri saya, hanya Allah yang tahu moga Allah pelihara adik Ainul, angkat darjat kesakitan yang adik Ainul tanggung,” kata seorang lagi pengguna Facebook dikenali Er Zu.

Semalam BH Online melaporkan Ainul Mardhiah menjalani ujian perubatan pertamanya kelmarin sejak tiba di London pada 24 Mei lalu.

Ainul Mardhiah dibawa ke London selepas pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri bersama sekumpulan pakar di United Kingdom (UK) bersedia membuat pembedahan terhadap bayi itu dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

1679 dibaca
Berita Harian X