Rabu, 5 Jun 2019 | 5:47pm
Ahmad Safiuddin dan isterinya, Nurul Erwani bersama Dr Nur Amalina dan ibunya Sabariah. - Foto Zaharah Othman

Ainul Mardhiah bersama ibu bapa sambut Aidilfitri di hospital

LONDON: Berada di perantauan bagi mendapatkan rawatan Ainul Mardhiah berusia sembilan bulan yang menghidap ketumbuhan kanser Germ Cell Tumour, tidak menghalang ibu bapanya menyambut Aidilfitri di sini.

Bagaimanapun, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaini, masing-masing berusia 24 tahun, menyambut hari lebaran di wad kanak-kanak sebuah hospital di sini, selepas anak mereka melalui ujian perubatan yang pertama semalam, sejak tiba di sini pada 24 Mei lalu.

Pasangan yang memakai pakaian raya berwarna ungu itu turut membawa sepasang baju kurung kecil sedondon yang ditempah khas untuk anak mereka.

Hasrat pasangan itu untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini bersama-sama rakyat Malaysia yang lain bagaimanapun tidak kesampaian susulan anak mereka perlu menjalani ujian pertama berkenaan.


Baju raya berwarna ungu untuk Ainul. - Foto Zaharah Othman

Namun, mereka tidak bersendirian kerana juadah raya dibawa oleh Dr Nur Amalina Che Bakri dan ibunya, Sabariah Hassan, yang memasak dan membawa nasi tomato berserta ayam masak merah buat ibu bapa Ainul Mardhiah ketika mereka mengunjungi Ainul Mardhiah.

Selain juadah dibawa Dr Nur Amalina, ibu bapa bayi berkenaan turut diberikan kuih raya yang dibawa oleh ibu bapa Ahmad Safiuddin yang melawat mereka beberapa hari lalu. Rakan-rakan serta warga Malaysia lain juga turut menyumbang kuih raya kepada mereka.

Dr Nur Amalina ialah individu yang berusaha membawa Ainul Mardhiah untuk mendapatkan rawatan lanjut di sini, apabila kisah sedihnya mendapat perhatian .

Beliau menghubungi pakar lain di London untuk sama-sama melihat bentuk bantuan yang boleh diberi kepada bayi berkenaan yang mempunyai ketulan tumbuhan di dalam mulutnya.

Ainul Mardhiah dan ibu bapanya diterbangkan ke London dengan ihsan Malaysia Airlines (MAS) serta bantuan rakyat Malaysia yang bermurah hati dan bersimpati dengan keadaan bayi itu.

Bayi berkenaan dijangka berada selama 21 hari di sini bergantung kepada rawatan yang bakal diterimanya.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina bersama sekumpulan pakar di United Kingdom bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Berita Harian X