Isnin, 3 Jun 2019 | 8:00pm

EKSKLUSIF: Sindiket pelancongan skim piramid licik perdaya mangsa

KUALA LUMPUR: Sindiket pelancongan berasaskan skim piramid dikatakan sering menukar strategi bagi memperdaya orang ramai dengan terbaharu, merekrut kumpulan pertama yang dibawa melancong untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Sumber mendedahkan, modus operandi syarikat terbabit yang menggunakan taktik pemasaran bertingkat (MLM) bermula selepas mereka berjaya mengumpan kumpulan pertama untuk menyebarkan ‘khabar indah’ kepada kumpulan kedua, ketiga dan seterusnya yang biasanya menerusi media sosial.

Destinasi yang ditawarkan pula adalah lokasi yang menjadi idaman kebanyakan rakyat Malaysia iaitu negara Eropah seperti Turki dan Teluk Balkan, negara Asia Barat seperti Mesir serta Makkah dan Madinah untuk pakej umrah.

Beliau berkata, pengguna sering tertipu kerana biasanya perjalanan kumpulan pertama tidak akan menghadapi masalah bagi memberi persepsi baik untuk mempengaruhi lebih ramai mangsa.

Pakej ditawar lebih murah

“Mereka yang berminat menyertai percutian murah itu akan diminta mencari beberapa lapisan downline sebagai mangsa.

“Penipuan itu bukan sahaja dilakukan individu, malah turut membabitkan syarikat pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya kepada BH.


TAN Kok Liang

Presiden Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA Fair), Datuk Tan Kok Liang, ketika ditemui mengesahkan ada pihak tertentu menjalankan sindiket pelancongan membabitkan skim piramid itu.

Katanya, penipuan itu menjadi trend baharu dalam industri pelancongan negara dan sudah mengakibatkan ribuan menjadi mangsa akibat terpengaruh dengan pakej pelancongan luar negara yang berharga rendah.

“Masalah timbul dalam pakej pelancongan piramid ini membabitkan kumpulan kedua seperti berlaku kelewatan tarikh penerbangan, ketiadaan pemandu pelancong, hotel dan restoran berbeza dan sebagainya. Ia akhirnya mengakibatkan penipuan yang lebih teruk pada kumpulan yang seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, ada pakej penuh atau all in berharga RM3,000 ke Istanbul, Turki bagi 10 hari percutian sememangnya tidak munasabah berbanding harga biasa bernilai kira-kira RM5,000.

Kok Liang berkata, kes penipuan membabitkan pelancongan dikesan semakin serius dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dan berpotensi untuk lebih membimbangkan.

“Mangsa biasanya akan mencari sesiapa untuk menyertai pelancong itu dan biasanya digalakkan mencari ahli keluarga, malah ditawarkan insentif atau komisyen tertentu.

“Namun, saya difahamkan, tidak ramai yang tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga menyebabkan tindakan undang-undang terhadap sindiket ini sukar dilaksanakan,” katanya yang mengakui menanti statistik rasmi berhubung jenayah berkenaan.

Tiada data rasmi

Setakat ini, tiada statistik rasmi daripada pihak berkuasa yang menunjukkan kerugian dialami mangsa berikutan menggunakan khidmat sindiket pelancongan skim piramid.

Bagaimanapun, penipuan membabitkan umrah yang direkodkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 2012 sehingga November 2018 lalu menunjukkan, jumlah kerugian atau tuntutan yang dilakukan mangsa mencecah hampir RM25 juta membabitkan kira-kira 3,800 kes.

Berita Harian X