Isnin, 3 Jun 2019 | 2:46pm

Datuk, nenek setia di sisi Ainul Mardhiah

LONDON: Sejak tiba di kota London minggu lalu, datuk dan nenek Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, mengakui tidak pernah jauh dari sisi bayi berusia sembilan bulan itu yang menghidapi ketumbuhan di bahagian mulut.

Salmah Atan dan Ahmad Razak Joffri, masing-masing nekad mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman di Melaka untuk menziarahi Ainul Mardhiah, selain ingin memberi sokongan moral kepada ibu bapanya sementara bayi terbabit menunggu masa mendapatkan rawatan di London.

Ahmad Razak yang juga bapa Ahmad Safiuddin berkata, mereka gembira dengan perkembangan Ainul Mardhiah sepanjang berada dalam jagaan petugas perubatan di hospital London, hasil sokongan padu dicerminkan rakyat Malaysia yang berada di sini.

“Kami menziarahinya setiap hari sejak tiba di sini dan berharap Ainul Mardhiah bersedia menjalani rawatan. Kehadiran kami di sini untuk memberikan sokongan moral kepada mereka (Ainul, Ahmad Safiuddin dan isteri, Nurul Erwani Zaidi).

“Syukur Alhamdulillah, berkat reda, percaya dan minda positif, kita berupaya mengharungi ujian ini secara bersama. Ini bukan cabaran buat Ainul Mardhiah saja, tetapi kami sebagai datuk dan neneknya serta ibu dan bapa Ainul Mardhiah sendiri,” katanya selepas mengunjungi bayi berkenaan, hari ini.

Tersentuh dengan keikhlasan ditunjukkan pelbagai pihak, Ahmad Razak berkata, keluarganya menghargai sokongan semua pihak yang akhirnya membolehkan Ainul Mardhiah dibawa ke London untuk mendapat rawatan perubatan terbaik.

“Kami tidak mengenali siapa mereka, tetapi setiap pengorbanan, keikhlasan dan sokongan mereka amat disanjungi. Rintangan dialami Ainul Mardhiah ini ibarat dikongsi bersama. Kisahnya menjadi perbualan ramai dan masing-masing tampil menghulurkan bantuan.

“Sudah pasti kami berharap Ainul Mardhiah akan kembali seperti bayi lain yang mampu ketawa, bercakap dan berjalan dengan normal. Buat masa ini, kami tahu Ainul Mardhiah dalam jagaan terbaik bersama kakak angkatnya,” katanya merujuk kepada pasukan sukarelawan Malaysia yang menyediakan kemudahan penginapan serta pengangkutan sepanjang keluarga bayi itu berada di London.

Salmah ketika menggambarkan perasaan mereka mengenai tahap kesihatan Ainul Mardhiah pula menyifatkan tiada lagi tangisan setiap kali mengenang nasib bayi itu selepas disahkan menghidap kanser mulut atau ‘Germ Cell Tumor’.

Beliau berkata, hanya kekuatan dipinjamkan Allah dan keredaan menerima ketentuan ini menjadi sandaran mereka supaya senyuman manis serta keriangan kembali terukir di wajah Ainul.

“Kami sentiasa mengingatkan ibu bapa Ainul Mardhiah untuk cekalkan hati dan menaruh kepercayaan kepada Allah, malah Ahmad Safiuddin yang juga anak sulung saya sentiasa meminta maaf dan meminta saya mendoakan dia dan anaknya itu kerana doa ibu mustajab,” katanya.

1909 dibaca
Salmah dan Ahmad Razak sentiasa berada di sisi Ainul Mardhiah yang dirawat di hospital London. - Foto ihsan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
Berita Harian X