Ahad, 2 Jun 2019 | 8:00pm
Portal yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan akan menganalisis kursus yang sesuai untuk pelajar sebagai panduan pemilihan menyambung pelajaran. - Foto hiasan

Portal bantu lepasan SPM pilih kursus

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk memperkenalkan portal panduan pemilihan kursus menggunakan analisis data raya bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

Portal turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan itu bagi memastikan pemilihan kursus oleh pelajar bersesuaian dengan keputusan peperiksaan serta kemahiran yang diperlukan pasaran semasa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya sudah menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Data Raya yang akan bekerjasama dengan universiti awam serta swasta, selain pihak industri bagi memastikan data yang lengkap.

“Menerusi portal itu, pelajar hanya perlu memasukkan nombor pengenalan, mereka untuk mendapat keputusan peperiksaan dan juga data dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, selain rekod semua kegiatan di sekolah termasuk kokurikulum dan projek yang dijalankan.

“Dengan gabungan keputusan peperiksaan dan data ini, portal ini akan menganalisis kursus yang sesuai untuk pelajar sebagai panduan pemilihan menyambung pelajaran, selain menyediakan maklumat peluang pekerjaan dalam pasaran bagi kursus itu pada tempoh tamat pengajian.

“Data raya juga akan buat analisis berapa banyak gaji mampu diterima untuk kursus yang dipilih selepas tamat pengajian,” katanya kepada The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) selepas mengadakan lawatan ke Balai Berita, di sini semalam.


Maszlee bersama Khaidir (kanan), Rashid (kiri) dan Penulis Lidah Pengarang NST, Abdul Rahim Mydin di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Aizuddin Saad

Negara lain sudah buat

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid, dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Rashid Yusof.

Maszlee berkata, langkah seperti itu sebenarnya sudah dijalankan oleh oleh negara lain termasuk Jordan dan Singapura.

Katanya, beliau sendiri sempat melihat portal seumpama itu ketika melawat Jordan dan mengadakan pertemuan dengan menteri pendidikan negara itu, dua bulan lalu.

“Di Jordan, pelajar hanya perlu memasukkan nombor pengenalan untuk mendapat keputusan peperiksaan dan portal itu juga akan memberi panduan kursus apa yang sesuai dengan keputusan.

“Langkah itu bagi mengelak salah padanan pengajian yang akhirnya menyebabkan pelajar sukar dapat pekerjaan,” katanya.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan memiliki banyak data mengenai pelajar, tetapi selama ini tidak menggunakan sepenuhnya rekod data itu serta menganalisisnya menggunakan teknologi terkini.

“Sedangkan kita sebenarnya mempunyai rekod pelajar di peringkat sekolah, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan peringkat kementerian tetapi tidak pernah buat analisis data untuk kepentingan pelajar,” katanya.

“Kita mahu memanfaatkan data ini, bersama-sama input lain berhubung pasaran pekerjaan, agar dapat memberi panduan kepada pelajar untuk memilih kursus bersesuaian dengan keperluan semasa industri,” katanya.

Berita Harian X