Khamis, 30 Mei 2019 | 9:47pm
KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (tengah) beramah mesra bersama peniaga di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

IPCMC: KPN mahu bela hak, kebajikan seluruh warga PDRM

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, menegaskan perjuangannya dalam penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah untuk membela hak dan kebajikan seluruh warga pasukan keselamatan itu.

Katanya, beliau mahu setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat hak yang sepatut dan setimpal dengan pengorbanan mereka dalam menjalankan tanggungjawab.

Beliau berkata, rakyat berhak memperkatakan apa saja terhadap PDRM berhubung penubuhan IPCMC, namun yang penting bagi dirinya ialah memperjuangkan kebajikan warga pasukan berkenaan.

“Kebanyakan warga PDRM sudah terima (bersetuju dengan penubuhan IPCMC) dan sekarang kita hanya menunggu bentuk muktamadnya.

“Selepas itu, tanggungjawab saya ialah meyakinkan anak buah bahawa apabila IPCMC terbentuk dan undang-undangnya diluluskan nanti, saya akan memastikan PDRM mendapat hak kebajikan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan rondaan di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, sempena program High Profile Policing (HPP) Ketua Polis Negara, petang tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, dan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau juga tersentuh dengan keadaan balai dan kuarters polis yang daif berikutan tiada peruntukan membaikinya, manakala anggota pula tiada pilihan melainkan terus tinggal di situ.

“Sejak sebulan lalu, saya turun melakukan tinjauan di balai dan kuarters. Sedih apabila ada kuarters yang bumbungnya bocor di sana sini tetapi tidak mampu dibaiki kerana tiada peruntukan.

“Anggota pula terpaksa berkorban kerana mahal kalau hendak menyewa di luar, terpaksa jugalah duduk walaupun bocor. Itulah IPCMC yang saya perjuangkan.

“Pada masa sama, saya mahu membela warga PDRM yang selama ini tidak mendapat hak sepatutnya kerajaan berikan kepada mereka.

“Dengan gaji RM1,500, anak dua orang, tinggal di tengah Kuala Lumpur... cuba bayangkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada PDRM.

Perkara itu dicapai melalui perbincangan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan 20 wakil jabatan PDRM serta persatuan polis diketuai Abdul Hamid di Perdana Putra, Putrajaya, 10 Mei lalu.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dipetik sebagai berkata kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dapat dikemukakan selepas Aidilfitri.

Pada akhir tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata kerajaan bersetuju Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diperkasakan dan dikenali sebagai IPCMC.

Perdana Menteri berkata, IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik berikutan banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai PDRM.

Berita Harian X