Khamis, 30 Mei 2019 | 7:10pm

Bil 'melambung' selepas 301 kWJ

KUALA LUMPUR: Bil bulanan elektrik segelintir pengguna akan mula ‘melambung’ sehingga merekodkan peningkatan caj melebihi RM30 apabila bacaan meter melepasi kadar 301 Kilowatt jam (kWj).

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, berkata peningkatan mendadak sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan pengguna itu berpunca daripada sistem bacaan meter berteraskan pendekatan ‘prorata’ yang digunakan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, kajian mendapati 75 peratus daripada keseluruhan akaun pengguna di Semenanjung sebenarnya mencatatkan bacaan bil elektrik bawah 300 kWj atau perlu membayar bil sebanyak RM77.

“Masalah pada perkiraan berteraskan kaedah prorata ini ialah bil elektrik pengguna yang majoritinya mewakili 25 peratus daripada akaun pengguna di Semenanjung akan mula naik mendadak sekiranya bacaan meter melebihi kadar jalur ketiga, iaitu dari 301 hingga 600 kWj.

“Kaedah prorata digunakan TNB dan mendapat perakuan Suruhanjaya Tenaga (ST) ini sebenarnya membahagikan secara sama rata caj penggunaan elektrik melebihi tempoh 30 hari kepada setiap kadar jalur.

“Oleh itu, berbanding mendapat bayaran serendah 28.1 sen bagi penggunaan 200 kWj pertama, pengguna sebenarnya dikenakan caj sama rata mengikut semua kadar jalur oleh TNB,” katanya ketika ditemui BH, semalam.

Kadar jalur caj semasa yang dikenakan kepada pengguna ketika ini ialah bacaan 1-200 kWj berkadar 21.8 sen, 201-300 kWj (33.4 sen), 301-600 kWj (51.6 sen), 601-900 kWj (54.6 sen) dan 901 kWj ke atas (57.1 sen).

Ditanya cadangan terbaik untuk menangani ralat caj pengguna, Piarapakaran berkata, TNB tidak boleh terus bergantung kepada meter digital, sebaliknya perlu segera memperluaskan pelaksanaan meter pintar.


Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran. - NSTP/Azhar Ramli

Bagaimanapun, katanya, TNB sebelum itu harus merungkai permasalahan dan rungutan dalam kalangan pengguna bahawa penggunaan meter pintar menyebabkan bil elektrik mereka naik mendadak, berbanding meter digital dan analog.

“Berdasarkan perbandingan terdahulu, meter digital atau analog mempunyai ralat sekitar lima peratus, berbanding meter pintar, justeru mengikut perkiraan, bil elektrik pengguna tidak seharusnya mengalami peningkatan atau penurunan melebihi kadar sama.

“Dengan syarat, pola kadar penggunaan elektrik masih sama, dengan tiada pertambahan atau pengurangan perkakas dan peralatan yang digunakan di rumah seperti ketika bacaan meter digital atau analog.

“Jika TNB beralih kepada pelaksanaan meter pintar yang sudah ‘bebas’ daripada sebarang masalah, isu ralat terhadap bil pengguna berupaya ditangani kerana syarikat utiliti negara itu kini tidak perlu bergantung kepada tenaga manusia untuk turun mencerap bacaan meter,” katanya.

Mengulas tempoh siasatan 14 hari yang diperuntukkan kerajaan kepada ST, Piarapakaran berkata, pengguna masih perlu menjelaskan bayaran bil elektrik mereka seperti biasa kerana perkara terbabit terikat kepada perundangan.

TNB sebagai syarikat utiliti negara, katanya, mempunyai rekod bacaan meter pengguna dan boleh memberikan pampasan atau kredit bayaran balik sekiranya mendapati wujud lebihan caj.

Berita Harian X