Rabu, 29 Mei 2019 | 6:41pm
Kementerian Pendidikan akan menggunakan waktu bekerja fleksi secara percubaan di semua Kolej Vokasional bermula 1 Julai depan. - Foto hiasan

Waktu kerja fleksi di Kolej Vokasional mulai 1 Julai

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan menggunakan waktu bekerja fleksi (WBF) secara percubaan di semua Kolej Vokasional bermula 1 Julai depan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, berkata langkah itu dilaksana bagi melihat keberkesanan pelaksanaan WBF di peringkat kolej dan pada masa sama memastikan jam pertemuan bersama pelajar tidak terjejas.

“Kementerian berharap pelaksanaan WBF akan meningkatkan semangat dan produktiviti tenaga pengajar Kolej Vokasional.

“Malah ia juga selari dengan hasrat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang mahu meningkatkan kualiti pendidikan vokasional, memartabat sistem pendidikan negara dan menjaga kebajikan pensyarah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, di bawah pelaksanaan Transformasi Pendidikan Vokasional pada 2012, sesi pengajian bagi semua Kolej Vokasional, Kementerian Pendidikan ditetapkan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Perkara ini bagi memenuhi jam pertemuan yang selaras dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam penawaran Diploma Vokasional Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Sehubungan itu waktu bekerja bagi pensyarah juga sudah ditetapkan mulai 8 pagi hingga 5 petang.

“Selepas tujuh tahun pelaksanaan Transformasi Pendidikan Vokasional dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terutama pensyarah Kolej Vokasional, kementerian memutuskan untuk menggunapakai WBF secara percubaan mulai sesi pengajian semester Julai ini,” katanya.

924 dibaca
Berita Harian X