Rabu, 29 Mei 2019 | 6:21pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media prestasi pelancongan Malaysia suku pertama 2019 di Putrajaya. - Foto BERNAMA

Pelancong belanja RM21.4 bilion dari Januari hingga Mac tahun ini

PUTRAJAYA: Sektor pelancongan negara mencatatkan perkembangan positif bagi suku pertama tahun ini, dengan jumlah perbelanjaan pelancong meningkat 16.9 peratus iaitu sebanyak RM21.4 bilion, berbanding RM18.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata prestasi itu disumbang oleh peningkatan jumlah pelancong dari Januari hingga Mac, iaitu sebanyak 6.7 juta pelancong, peningkatan 2.7 peratus berbanding 6.5 juta pelancong bagi tempoh sama tahun lalu.

“Dari segi perbelanjaan pelancong tertinggi mengikut jarak pasaran, bagi jarak dekat disumbangkan Singapura iaitu sebanyak RM6.2 bilion, jarak sederhana oleh China iaitu RM3.7 bilion dan jarak jauh oleh United Kingdom (UK) iaitu RM483.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Prestasi Pelancongan Malaysia Suku Pertama 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Mohamaddin berkata, perbelanjaan perkapita keseluruhan pelancong juga meningkat sebanyak 13.8 peratus iaitu dari RM2,813.1 pada 2018 kepada RM3,201.8 pada 2019.

Katanya, prestasi memberangsangkan itu adalah hasil daripada kempen dan promosi berterusan yang giat dilaksanakan kementerian itu di luar negara, termasuk kerjasama dengan kerajaan negara terbabit dan syarikat penerbangan.

“Ketibaan pelancong bagi jarak dekat meningkat 1.9 peratus iaitu dari negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, manakala bagi jarak sederhana meningkat 8.6 peratus dari negara seperti China, Korea, Jepun, India dan Pakistan.

“Berdasarkan trend bagi suku pertama tahun ini, kita mampu mencapai sasaran 28 juta pelancong pada tahun ini dan hanya memerlukan tambahan dua juta pelancong lagi mencapai sasaran 30 juta pelancong pada 2020,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada krisis antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Group Bhd (AirAsia) akan memberi kesan kepada sektor pelancongan negara, Mohamaddin berkata, ia adalah masalah dalaman kedua-dua syarikat dan tidak akan menjejaskan industri pelancongan.

Berhubung penurunan jumlah pelancong dari Singapura sebanyak 1.5 peratus, Isham berkata, ia berpunca daripada masalah sistem imigresen di Tambak Johor dan ia dijangka selesai menjelang Oktober ini.

Berita Harian X