Selasa, 28 Mei 2019 | 1:22pm
MAHASAN Mustapa (kiri) diiringi Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail dan Ketua Pemeriksa Kereta Motor Kanan Tertinggi (KPKM (T), Unit Teknikal JPJ Kelantan, Kasmuri Abd Rahman (kanan) memeriksa kenderaan pengangkutan awam menggunakan ' Tyre Gauge ' iaitu alat mengukur ketebalan bunga tayar di depoh Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Panji, sempena Ops Sisih Siri 2/2019. - Foto Zaman Huri Isa

69 bas ekspres lulus, 3 gagal pemeriksaan JPJ

KOTA BHARU: Sebanyak 69 bas ekspres lulus, manakala tiga lagi gagal mematuhi piawaian selepas diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan Aidilfitri di negeri ini.

Pengarahnya, Mahasan Mustapa, berkata keputusan itu diperoleh hasil pemeriksaan terhadap 72 bas ekspres menerusi Ops Sisih di lima syarikat bas di negeri ini.

Katanya, pemeriksaan dijalankan bermula Rabu lalu dan berakhir hari ini membabitkan lima pegawai daripada JPJ dan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Pemeriksaan membabitkan spesifikasi bas daripada sudut teknikal seperti brek, lampu dan tayar selain kemudahan lain seperti tangga keselamatan serta pintu kecemasan.

“Biasanya, jika gagal, kita akan beri tempoh untuk syarikat bas perbaiki kenderaan mereka, contohnya kalau tayar botak, kita suruh tukar tayar baharu dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan pemeriksaan di ibu pejabat bas syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) di Panji, di sini, hari ini.


MAHASAN Mustapa diberi penerangan kegunaan pemukul cermin kecemasan daripada Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail (kiri) sempena Ops Sisih Siri 2/2019 di depoh Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Panji. - Foto Zaman Huri Isa

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Mahasan berkata, berbanding tahun 2017, daripada 131 bas yang diperiksa, sebanyak 29 gagal manakala tahun 2018, daripada 136 bas diperiksa, hanya 10 bas ekspres gagal memenuhi piawaian.

“Keseluruhan peratusan gagal semakin menurun menunjukkan pengusaha bas ekspres mengambil inisiatif penambaikan, beri perhatian dan komitmen yang tinggi untuk mematuhi spesifikasi yang JPJ tetapkan,” katanya.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata, bagi menghadapi musim perayaan tahun ini, pihaknya mempersiapkan 180 pemandu E-Mutiara dari segi mental dan fizikal termasuk soal kesihatan diri dan pemeriksaan bahan terlarang.

Katanya, ini bagi memastikan perjalanan pengguna bas ekspres syarikat itu berada dalam keadaan terbaik bagi pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, minggu depan.

“Selain memastikan pemandu kami mendapat rehat yang cukup, kita juga turut menambah tiga bas tambahan sempena perayaan tahun ini bagi laluan utama Kuala Lumpur- Kota Bharu,” katanya.

Berita Harian X