Sabtu, 25 Mei 2019 | 9:24pm
PENGARANG Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (berdiri lapan dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings, Mohd Muazzam Mohamed (berdiri tujuh dari kanan) bergambar beramai selepas Program Semarak Ramadan anjuran BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian, di Masjid Al Hasaniah, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru. NSTP/Khairunisah Lokman.

Semarak Ramadan BH medan terbaik BHB fokus program CSR

ALOR GAJAH: Program Semarak Ramadan BH bersama BIMB Holdings Berhad (BHB) 2019 adalah medan terbaik untuk mendekati kumpulan sasaran melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ia terbukti apabila program Semarak Ramadan BH bersama BHB di Masjid Al Hasaniah, Kuala Sungai Baru, hari ini, berjaya mencapai matlamatnya untuk menyantuni masyarakat setempat melalui aktiviti bergotong-royong, selain turut menyampaikan bantuan zakat serta sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan sasaran.

Pengurus Besar Kanan Undang-Undang dan Kesetiausahaan BHB, Maria Mat Said, berkata BHB terus menjuarai program kebajikan melalui aktiviti CSR yang dijalankan syarikat berkenaan di seluruh negara.


KETUA Pegawai Eksekutif BIMB Holdings, Mohd Muazzam Mohamed (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM5,000 kepada Pengerusi Masjid, Julasapiyah Kassim (tiga dari kiri) pada Program Semarak Ramadan anjuran BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian di Masjid Al Hasaniah, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru. NSTP/Khairunisah Lokman.


AHMAD Zaini (berdiri lapan dari kiri) bersama Mohd Muazzam (berdiri tujuh dari kanan) bergambar beramai selepas Program Semarak Ramadan anjuran BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian di Masjid Al Hasaniah. NSTP/Khairunisah Lokman.

“Program Semarak Ramadan BH bersama BHB ini adalah kesinambungan daripada beberapa program CSR serta kebajikan yang dilaksanakan BHB sejak dahulu lagi.

“Melalui program turun padang ini, ia memberi peluang kepada kami untuk menyelami sendiri permasalahan dan denyut nadi masyarakat khususnya yang memerlukan bantuan,” katanya kepada BH pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Kepada Asnaf sempena program Semarak Ramadan BH bersama BHB di Masjid Al Hasaniah, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Ustaz Saiful Anuar Hambali, berkata program hari ini adalah antara platform terbaik untuk BHB serta Bank Islam menyalurkan zakat perniagaan syarikat dan zakat daripada lembaga zakat kepada asnaf di seluruh negara.

Pada majlis itu, sumbangan zakat RM250 seorang diberikan kepada seramai 50 penerima, yang terdiri daripada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan keluarga miskin, selain barangan keperluan harian, termasuk beras sumbangan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).


AHMAD Zaini (empat dari kanan) menyampaikan bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan Kuala Sungai Baru sempena Program Semarak Ramadan anjuran BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian. Hadir sama Mohd Muazzam (kiri). NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber.


AHMAD Zaini (tengah) bersama Mohd Muazzam (kiri) bertemu dengan peniaga pasar Ramadan Kuala Sungai Baru selepas menyampaikan apron dan 'goodie bag' pada agihan bubur lambuk sempena Program Semarak Ramadan anjuran BIMB Holdings Berhad dan Berita Harian. NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber.

Seramai 50 pelajar asnaf di kawasan sekitar turut menerima bantuan RM150 seorang.

BHB turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 juga kepada pengurusan Masjid Al Hasaniah untuk program pembangunan masjid.

Terdahulu, warga BHB dan BH diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BHB, merangkap CEO Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, turun padang mengedarkan bubur lambuk, apron serta cenderahati kepada peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Kuala Sungai Baru.

Berita Harian X