Jumaat, 24 Mei 2019 | 8:22pm
Pengarang Komersial dan Ehwal Semasa BH, Salina Abdullah (tiga dari kiri) bersama kakitangan BH membuat persiapan untuk Program Semarak Ramadan BH 2019 bersama BIMB Holdings Berhad di Masjid Al Hasaniah, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru. - NSTP/Khairunisah Lokman

Semarak Ramadan BH 2019 bersama BHB di Kuala Sungai Baru

ALOR GAJAH: Lebih 500 penduduk dijangka memeriahkan program Semarak Ramadan BH 2019 bersama BIMB Holdings Berhad (BHB) di Masjid Al Hassaniah, Kuala Sungai Baru, di sini, esok.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BHB, Wan Nor Khairi Wan Samad, berkata program menyantuni masyarakat itu adalah yang kedua dianjurkan BHB bersama BH untuk Ramadan tahun ini, dengan yang pertama membabitkan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Shah Alam, Selangor.

“Uniknya di lokasi kedua ini, kita akan bersama-sama bergotong-royong bagi program penyembelihan kerbau, memasak bubur lambuk, menyampaikan sumbangan zakat kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta menyediakan juadah berbuka puasa.

“Program sepanjang hari yang diadakan di Masjid Al Hassaniah esok, bertepatan dengan matlamat BHB dan warga media untuk menyantuni penduduk di sekitar Kuala Sungai Baru, di sini,” katanya kepada BH di Masjid Al Hassaniah, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Wan Nor Khairi berkata program Semarak Ramadan ini adalah tahun kesembilan membabitkan kerjasama BHB bersama BH untuk menyantuni pelbagai pihak, termasuk penduduk setempat khususnya dalam bulan Ramadan.


Pengarang Komersial dan Ehwal Semasa BH, Salina Abdullah (kiri) menyusun sumbangan barangan dapur sebagai persiapan untuk Program Semarak Ramadan BH 2019 bersama BIMB Holdings Berhad di Masjid Al Hasaniah, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru. - NSTP/Khairunisah Lokman

Kakitangan BH menggantung kain rentang sebagai persiapan untuk Program Semarak Ramadan BH 2019 bersama BIMB Holdings Berhad di Masjid Al Hasaniah, Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru. - NSTP/Khairunisah Lokman

Sementara itu, Naib Pengerusi Masjid Al Hassaniah merangkap Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Sungai Baru, Abu Kasim Sampul, berkata ia program kemasyarakatan yang julung kali diadakan di masjid berkenaan.

“Penduduk di Kuala Sungai Baru berasa cukup terharu apabila BHB bersama BH sudi menyantuni masyarakat kampung dengan pelbagai pengisian program sepanjang hari.

“Selain acara penyembelihan kerbau, memasak bubur lambuk dan berbuka puasa, kita juga mengadakan kelas solat serta bimbingan subjek Matematik kepada anak-anak di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Komersial dan Ehwal Semasa BH, Salina Abdullah, berkata program di Melaka itu adalah program terakhir Semarak Ramadan BH 2019, yang dijayakan bersama rakan strategik.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program tahun ini.

“Kami berharap program menyantuni penduduk di seluruh negara ini akan dapat diteruskan tahun depan dan tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Selain Shah Alam dan Kuala Sungai Baru, Program Semarak Ramadan BH turut dijalankan di Kodiang, Kedah selain Bandar Dato’ Onn dan Larkin Sentral di Johor Bahru serta Taman Cendana di Pasir Gudang, Johor.

Berita Harian X