Jumaat, 24 Mei 2019 | 5:20pm
PENGERUSI FAMA, Ishak Ismail (kiri) merasmikan ‘Majlis Flagoff Penerokaan Pasaran Produk Agro Makanan ke Arab Saudi melalui Projek MYFFU’ di Selayang, hari ini. - Foto Nadim Bokhari

FAMA sasar tembus pasaran 3 negara GCC

SELAYANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menembusi pasaran negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) membabitkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) , Oman dan Qatar pada tahun depan melalui segmen produk agro makanannya.

Pengerusinya, Ishak Ismail, berkata pihaknya melihat potensi besar dalam industri agro makanan halal di pasaran antarabangsa khususnya di negara GCC selepas kejayaan FAMA menembusi perniagaan di Arab Saudi dalam segmen terbabit sejak 2016.

“Pasaran halal membabitkan agro makanan mendapat permintaan meningkat setiap tahun, bukan saja dari negara Asia Barat tetapi juga negara lain seperti Korea dan Jepun.

“Sehingga kini, usahawan FAMA sudah berjaya menembusi pasaran Arab Saudi menerusi produk sedia dimakan (RTE) dan sedia diminum (RTD) melalui Projek Malaysia Food For Ummah (MYFFU) yang dimulakan sejak 2016.

“Apabila kita berjaya mengukuhkan pasaran di Arab Saudi, ia memudahkan laluan untuk ke negara GCC yang lain dan kita menjangka usahawan kita bersedia menghantar produk RTE dan RTD ke sana bermula tahun depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘Majlis Flagoff Penerokaan Pasaran Produk Agro Makanan ke Arab Saudi melalui Projek MYFFU’, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ishak berkata, FAMA kini mempunyai sekurang-kurangnya 300 usahawan dan syarikat yang sedia memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, jumlah jualan bagi eksport produk agro makanan ke pasaran antarabangsa dilihat memberangsangkan apabila berjaya mencatatkan RM26.6 bilion pada 2017 dan dijangka terus meningkat melalui usaha bagi menembusi pasaran di tiga negara GCC terbabit.

Katanya, negara ASEAN adalah pasaran terbesar bagi sektor agro makanan oleh FAMA diikuti negara di Asia Barat.

“Bagi usaha menembusi pasaran di negara GCC, kita sedang mengenal pasti usahawan yang mempunyai produk sesuai dengan menitikberatkan pensijilan, kapasiti pengeluaran dan kualiti produk, ” katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, projek MYFFU tahun ini menghantar 999 karton membabitkan 22 unit simpanan stok (SKU) produk agro makanan untuk jualan promosi di lima hotel penginapan jemaah haji Malaysia di Arab Saudi.

Katanya, sebanyak 14 usahawan bimbingan FAMA terbabit dalam projek MYFFU kali ini membabitkan produk RTE dan RTD seperti snek, serunding, sos cili, kicap, minuman koko, kopi dan roti.

“Produk ini dihantar melalui kapal laut pada Isnin ini ke pelabuhan Jeddah dan dijangka tiba pada 18 Jun depan.

“Bagi MYFFU kali ini, FAMA menjalinkan usaha sama strategik dengan syarikat Inovatif Hijrah Resources yang bertindak sebagai ejen pemasar di sana dengan melantik pengimport dan pengedar di Arab Saudi, selain menguruskan pendaftaran serta kelulusan produk, ” katanya.

184 dibaca
Berita Harian X