Jumaat, 24 Mei 2019 | 12:07pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyempurnakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Ekspres Tambang Murah, Ekspres Musafir di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Minta syarikat operasi tambah jumlah penerbangan bagi kawal harga tiket

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi menegaskan tidak akan menetapkan harga siling dan lantai bagi tambang tiket penerbangan untuk mengelak ia dimanipulasi syarikat operasi ketika musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan bagaimanapun meminta syarikat operasi supaya meningkatkan jumlah penerbangan sekali gus memastikan purata harga tiket dapat diturunkan.

“Tidak dinafikan harga tiket penerbangan akan lebih tinggi pada musim perayaan berbanding hari biasa namun kerajaan sudah mengambil inisiatif memastikan syarikat penerbangan menambah jumlah penerbangan.

“Ingin saya jelaskan bahawa memang ada syarikat yang menambah bilangan penerbangan dan dari segi purata harga (tiket) menunjukkan sedikit penurunan. Kita juga tidak akan melaksanakan sistem harga siling dan lantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Ekspres Tambang Murah, Ekspres Musafir di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Parames Albakri; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak dan Pengarah Urusan Maju TMAS Sdn Bhd, Mohammed Roslan Shariff.

BH sebelum ini melaporkan gesaan persatuan pengguna supaya kerajaan mengarahkan syarikat penerbangan tempatan, mengurangkan harga tiket penerbangan domestik menjelang Aidilfitri.

Siew Fook berkata, inisiatif lain yang diambil kerajaan bagi menangani isu terbabit adalah dengan meminta syarikat penerbangan menawarkan tiket pada harga tetap.

“Air Asia sebagai contoh sudah menawarkan tiket pada harga tetap umpamanya penerbangan ke Sarawak pada harga RM149. Semua penerbangan ke destinasi itu berharga RM149 tetapi perlu cepat (dapatkannya),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MIROS akan menjalankan siasatan dari aspek teknikal dan keselamatan berhubung kemalangan sebuah bas yang membawa 25 pelajar dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jelebu, Negeri Sembilan semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang maut manakala 26 yang lain cedera.

230 dibaca
Berita Harian X