Khamis, 23 Mei 2019 | 9:12pm

Agensi zakat disaran sumbang buku - Maszlee

PUTRAJAYA: Agensi zakat di negara ini disaran supaya bukan saja memberi sumbangan wang dan makanan kepada golongan asnaf, tetapi juga dalam bentuk buku dan bahan bacaan lain.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia adalah antara usaha untuk membantu golongan itu terutama anak mereka membina cita-cita dan belajar bersungguh-sungguh, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan.

“Apabila saya menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf sebelum ini, saya tengok ada yang kurang.

“Kita bagi barangan dapur tapi saya dapati tak ada bahan bacaan seperti buku, tiada yang berkaitan sains dan bahasa Inggeris.

“Justeru, saya menekankan dan menyeru kepada pihak zakat supaya memberikan buku kepada golongan asnaf ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Zakat Semarak Ilmu Kementerian Pendidikan-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Selain itu, Maszlee turut berharap sumbangan buku di bawah program itu akan diperluaskan ke seluruh negara dan golongan bukan Islam daripada kelompok B40.

Melalui program itu, lebih 4,600 pelajar asnaf dari sekolah di Putrajaya dan Kuala Lumpur menerima tajaan dalam bentuk tajaan buku terbitan ITBM bernilai RM700,000 sumbangan Wakalah Kementerian Pendidikan daripada MAIWP, PPZ-MAIWP dan ITBM.

MASZLEE melancarkan Program Zakat Semarak Ilmu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Institut Terjemahan Buku (ITBM) di Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir.
Berita Harian X