Khamis, 23 Mei 2019 | 5:20pm
JENAZAH Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar selamat dimakam di Makam Diraja Pekan, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang selamat dimakamkan

PEKAN: Istiadat pemakaman jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Makam Diraja Pekan, Jalan Sultan Ahmad, dekat sini, selesai sebentar tadi.

Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang dimakamkan bersebelahan pusara isteri, Almarhum Tengku Ampuan Hajjah Afzan Rahimahallah Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Terdahulu, jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dibawa dari Balairung Seri Istana Abu Bakar, selepas selesai tempoh diberikan kepada rakyat jelata dan orang kenamaan memberikan penghormatan terakhir sejak jam 9 malam tadi.

Kenderaan khas membawa jenazah bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar kira-kira jam 2.26 petang dan tiba di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah yang terletak sejauh 2.2 kilometer dari istana, kira-kira sejam kemudian.


ASKAR Rejimen Artileri Diraja (RAD) melepaskan 88 das tembakan meriam pada Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di Makam Diraja Pekan. - NSTP/Zulkepli Osman

Ribuan rakyat jelata berbaris di kiri kanan jalan sepanjang laluan digunakan kenderaan khas dibawa jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan disertai ratusan rakyat jelata diadakan di masjid itu, sebelum jenazah dibawa ke Makam Diraja Pekan, untuk istiadat pemakaman.

Istiadat pemakaman bermula jam 3.55 petang dengan dihadiri Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom dan semua paduka anakanda Almarhum Sultan Ahmad Shah, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara anakanda Almarhum lain yang berada di istiadat pemakaman ialah Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman; Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua’adzam; Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam; Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini; Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Datuk Nong Fatimah dan Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Datuk Shahariah.

5170 dibaca
Berita Harian X