Khamis, 23 Mei 2019 | 4:17pm
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin. - Foto Malai Rosmah Tuah

Program matrikulasi masih relevan - Naib Canselor UMS

KUALA LUMPUR: Program Matrikulasi masih relevan dan terbukti berjaya meningkatkan bilangan pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di universiti awam (UA), khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin, berkata program itu diperkenalkan dengan objektif asas sebagai laluan alternatif khas bagi pelajar Bumiputera untuk melanjutkan pengajian UA, selain kemasukan melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan lain-lain kelayakan yang setara.

Katanya, dalam konteks Sabah, program matrikulasi penting dan relevan sebagai laluan alternatif pelajar Bumiputera pelbagai etnik termasuk yang berdarah campuran Cina dengan etnik tempatan atau `Sino’ mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di universiti, khususnya UMS.

Beliau berkata, setiap sesi akademik, UMS menerima kemasukan ramai pelajar lulusan program matrikulasi dari seluruh negara.

“Di Sabah, pelajar adalah pelbagai daerah, termasuk dari luar bandar dan Pedalaman, dan bagi sesi kemasukan akademik 2018/2019, sekitar 21 peratus pelajar tahun pertama UMS ialah dari program matrikulasi berbanding 58 peratus melalui STPM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr D Kamarudin berkata, program matrikulasi perlu diteruskan dan kesangsian terhadap program itu sewajarnya dihentikan demi menjaga keharmonian negara kita.

“Kita perlu beri tumpuan untuk memberi pengalaman serta pengetahuan yang holistik kepada semua pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti ke arah melahirkan graduan bersedia menghadapi revolusi Industri 4.0,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin MCA, GERAKAN dan DAP menuntut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memohon maaf dan menarik balik kenyataan serta membidas beliau kerana mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Minggu lalu, portal berita melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Pada 24 April lalu, Kabinet bersetuju sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Dengan keputusan itu, jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun ini ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Susulan keputusan itu, jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000.

Berita Harian X