Khamis, 23 Mei 2019 | 1:33pm
PENGARAH Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Ahmad Shah Rizal di kediaman arwah di Kampung Paloh, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Syarikat Dnars contoh majikan jaga kebajikan pekerja

TUMPAT: Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, dianggap majikan contoh kerana mengutamakan kebajikan pekerja dengan membuat caruman secara teratur tanpa pengecualian.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob, berkata syarikat milik Allahyarham, Rohban Trade Sdn Bhd, amat patuh kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

Katanya, syarikat itu juga mencarum mengikut Akta 4 AKSP 1969, yang melindungi pekerja dan majikan yang mengalami kemalangan, kematian, keilatan dan Pencen Penakat.

“Mereka membayar caruman kepada pihak kami dengan begitu baik dan teratur bahkan arwah Faziani selaku pemilik syarikat juga turut membuat caruman PERKESO tanpa pengecualian.

“Keprihatinan arwah dalam membuat caruman kepada semua pekerja dan mencarum untuk dirinya sendiri adalah sesuatu yang terpuji, malah patut dijadikan contoh oleh majikan lain serta diangkat sebagai ikon dalam kalangan majikan PERKESO Kelantan.

“PERKESO mendapati Allahyarham sememangnya pencarum setia dan semakan caruman mendapati ia memenuhi kelayakan untuk tuntutan Pencen Penakat,” katanya kepada pemberita di kediaman arwah di Kampung Paloh di sini hari ini.

PERKESO Kelantan menyampaikan tuntutan suami arwah, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, yang akan menerima Pencen Penakat setiap bulan sebanyak RM2,212 seumur hidup.

Untuk syer pencen anak arwah pula akan menerima sehingga berusia 21 tahun, manakala bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 sudah dikreditkan ke dalam akaun suami arwah.

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal berkata arwah isterinya memang seorang majikan yang sangat mementingkan kebajikan dan menitikberatkan keselamatan pekerja.

“Caruman untuk pekerja dibuat berterusan tanpa pengecualian kerana mengambil kira kebajikan mereka sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada PERKESO atas penyerahan tuntutan Pencen Penakat dan menganggap arwah sebagai ikon majikan PERKESO malah gelaran itu memang layak untuknya,” katanya.

Faziani terbunuh manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada 18 Mei lalu.

6804 dibaca
Berita Harian X