Rabu, 22 Mei 2019 | 2:49pm
Twitter Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri, orang kenamaan rafak sembah takziah

KUALA LUMPUR: Barisan menteri Kabinet dan orang kenamaan merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.

Ucapan sembah takziah dizahirkan menerusi laman Twitter mereka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendoakan semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan roh baginda dicucuri rahmat Allah SWT.

“Merafak sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, turut merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keluarga serta seluruh rakyat Pahang.

“Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. mengajak rakyat untuk mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat Allah.

“Sembah takziah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah yang mangkat pada pagi tadi. Sama-samalah kita mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat Allah. Al Fatihah,” katanya.

Ucapan sembah takziah turut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

“Merafak sembah takziah kepada KYDMM Sultan Pahang, kerabat diraja Pahang, dan seluruh rakyat Pahang Darul Makmur atas kemangkatan ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, keluarga, ahli-ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Pahang.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengambil kesempatan merafak sembah takziah di atas kemangkatan baginda.

“Marilah kita mendoakan roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah.”

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata: “Innalillahiwainnalillayhirojiun. Merafak sembah takziah kepada KDYMM Sultan Pahang, kerabat diraja Pahang dan seluruh rakyat negeri Pahang atas kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Al Fatihah...”

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi ini.

Khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media hari ini.

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, 88, adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

1088 dibaca
Berita Harian X