Rabu, 22 Mei 2019 | 2:01pm
Laman twitter Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Bendera Selangor dikibar separuh tiang hari ini, esok

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya bendera Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini hingga esok bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dalam satu kenyataan, turut menyampaikan ucapan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh rakyat Pahang.

“Merafak sembah takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat negeri Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Menjunjung titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar bendera Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan hari esok sebagai tanda menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“Semoga roh Almarhum mendapat husnul khatimah, dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” katanya.

Sultan Ahmad Shah yang mangkat pada usia 88 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun sebelum diambil alih oleh anakanda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu, berikutan keadaan kesihatan baginda yang tidak mengizinkan.

1814 dibaca
Berita Harian X