Isnin, 20 Mei 2019 | 11:03am
BOT nelayan tersadai di Pangkalan Parit Karang Laut ketika air surut berikutan keadaan di muara cetek. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Eksklusif: Sukar ke laut muara ditimbus lumpur

TANGKAK: Nelayan di Johor khususnya di daerah ini terjejas teruk dengan fenomena muara cetek kerana pemendapan selut. Masalah ini menjejaskan kegiatan perikanan dan pendapatan nelayan.

Hakisan itu menyebabkan nelayan terpaksa bergantung kepada keadaan pasang surut air untuk ke laut.

Antara yang berdepan masalah ini termasuk pangkalan Parit Karang Laut; Kesang Laut dan Parit Ismail di daerah Tangkak, manakala di Muar membabitkan Parit Perupok, Parit Amal, Parit Raja dan Parit Kassim.

Nelayan Parit Karang Laut, Saruddin Abu Bakar, mendakwa isu itu adalah masalah berulang yang menghantui nelayan lebih setahun lalu iaitu sejak kali terakhir kerja mengorek lumpur di kuala dibuat pihak berwajib.


TANGKAK 18 FEBRUARI 2019. ( LAPORAN KHAS EKSKLUSIF BH LAUT TUTUP MUKA KUALA ) Nelayan Parit Karang Laut, Tangkak, Saruddin Abu Bakar. NSTP/BADRUL KAMAL ZAKARIA

Dakwanya, keadaan itu menyebabkan aktiviti perikanan sangat terhad kerana nelayan hanya boleh ke laut ketika air pasang dan perlu segera balik ke pangkalan atau jeti sebelum air surut bagi mengelak tersangkut pada beting di muara.

Nelayan Parit Perupok Laut, Mohd Norazmi Kasim, berkata muara dilitupi lumpur turut menjejaskan pendapatannya kerana tidak dapat memaksimumkan tempoh ke laut untuk menangkap ikan.

Enjin bot mudah rosak

Yahya Baba pula memberitahu, beberapa bahagian enjin bot seperti kipas, batang sub, kemudi, kotak gear atau bahagian dalam enjin mudah rosak akibat dimasuki lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Dr Faizul Amri Adnan, berkata arus laut deras di pesisir pantai daerah Tangkak dan Muar menyebabkan kuala ditimbusi lumpur.

Katanya, masalah ini disebabkan arus laut yang agak kuat dan ia boleh berlaku dari pelbagai arah mengikut musim tertentu.

Faizul Amri yang juga pakar hidrografi dan reka bentuk kapal turut menjangkakan arus bertambah tinggi pada masa hadapan berikutan keadaan muka bumi kawasan Tangkak dan Muar yang berada jaluran paling sempit Selat Melaka.

“Arus laut di kawasan ini memang tinggi dan mengikut keadaan pada hari ini, saya menjangkakan arus laut terus kuat pada masa akan depan. Ini menyebabkan tindakan konvensional sebelum ini seperti projek mengorek muara sungai gagal menangani masalah ini.

“Saya juga melihat arus laut, terutama di Parit Karang Laut datang dari pelbagai arah dan perubahan ini boleh memberikan kesan dan masalah di pangkalan nelayan ini,” katanya ketika ditemui BH di Pangkalan Nelayan Parit Karang Laut di sini, semalam.


NELAYAN, Muhammad Shahmin Hassim (depan) dan Mohd Norazmi Kasim terpaksa bersusah payah untuk mengeluarkan bot mereka yang tersangkut di tanah lumpur berikutan keadaan paritnya yang cetek dan keadaan muka kuala di Jeti Nelayan Parit Perupok Laut, Muar. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Beliau yang juga bekas pensyarah di UniKL-MIMET berkata, arus laut deras juga menyebabkan hakisan di pesisir pantai, sekali gus membawa hakisan itu ke kawasan lain termasuk di kuala dan menutupnya sehingga memberi kesan kepada sektor perikanan.

“Arus deras ini turut menyebabkan hakisan teruk di kawasan lain seperti yang berlaku di beberapa tempat di kedua-dua daerah ini dan menjadi antara penyebab tanah kita pada semakin mengecil.

Laut hakis tanah

“Dahulu pantai ini masih jauh ke hadapan, namun kini ia semakin menghakis tanah hingga ada tempat yang dahulu mempunyai rumah atau binaan, tapi kini sudah berada di kawasan laut,” katanya,

Faizul Amri berkata, keadaan muka bumi di rantau ini yang dilihat semakin kurang stabil juga antara punca masalah ini berterusan dan memerlukan satu jangka panjang bagi menanganinya.

“Sejak kebelakangan ini juga sering berlaku gempa dan ia secara tidak langsung turut menghasilkan gelombang atau ombak agak besar walaupun bukan kategori tsunami.

“Keadaan ini sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada negara kita khususnya di pesisir pantai, terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung tanpa kita sedari,” katanya.

Beliau berkata, boleh dikatakan keseluruhan pantai terutama di Pantai Barat semenanjung ini terletak bersebelahan Indonesia yang berada dalam kawasan garisan lingkaran api pasifik punca mereka kerap mengalami gempa.

“Gempa bumi yang kerap dan tinggi ini menyebabkan gelombang atau ombak besar yang boleh mempengaruhi arus laut ini, seterusnya menyebabkan hakisan terus berlaku jika tiada pelan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasinya,” katanya.


MUAR 18 MEI 2019. Dua nelayan terpaksa mendayung dan menggunakan kayu pancang panjang untuk menolak bot mereka yang tersangkut di benting pasir yang timbul ketika air surut berikutan keadaan muka kuala di Pangkalan Nelayan Parit Karang Laut, Tangkak. - Foto Badrul Kamal Zakaria

“Mereka yang akan menerima kesan teruk akibat fenomena alam ini sudah tentu nelayan, selain masyarakat yang tinggal di kawasan laut. Justeru, kita perlu bertindak bermula dari sekarang bagi memastikan isu ini tidak akan terus berpanjangan," katanya.

JPS mohon peruntukan pulihara muara

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah memohon peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan projek pemuliharaan muara sungai di kawasan bermasalah khususnya di dua negeri iaitu Terengganu dan Kedah.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Zon Pantai JPS, Siti Aishah Hashim, berkata pihaknya menerima permohonan daripada kerajaan negeri untuk projek berkenaan khususnya di kawasan kritikal.

Beliau berkata, perancangan untuk pelaksanaan akan dimulakan sekiranya peruntukan diterima pada tahun depan.

Mengulas lanjut beliau berkata, projek pemuliharaan muara sungai itu membabitkan kerja pengorekan di muara sungai yang cetek dan pembinaan benteng pemecah ombak bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Jabatan ada menerima permohonan daripada setiap negeri bagi kerja pemuliharaan muara sungai dan sekiranya ia adalah keperluan mendesak kita akan kemukakan permohonan kepada kerajaan untuk melaksanakan projek pemuliharaan berkenaan.

“Sehingga kini, dua kaedah dilaksanakan bagi pemuliharaan muara sungai yang cetek iaitu mengorek muara sungai untuk penyelesaian jangka pendek dan pembinaan benteng pemecah ombak bagi penyelesaian jangka panjang,” di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi di mana ribuan nelayan di tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Terengganu dikesan paling teruk terjejas akibat muara sungai yang cetek sehingga menyukarkan mereka turun ke laut.

Siti Aishah berkata, dari aspek teknikalnya, keadaan muara sungai cetek berlaku disebabkan aliran air dari hulu tidak cukup kuat untuk menolak pasir ke laut dan dalam masa yang sama ombak dari laut turut menolak pasir ke muara menyebabkan ia berkumpul di tengah-tengah dan berlaku pemendapan.

Katanya, melalui projek pemuliharaan muara sungai itu, penyelesaian yang dilaksanakan itu boleh melancarkan aliran air dari sungai ke laut dan mengatasi masalah pemendapan di muara sungai.

Berita Harian X